HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Januari 2011

Tenang: PAS masih optimis, harapkan keajaiban esok

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

LABIS — Walaupun ramai yakin Barisan Nasional (BN) dengan keseluruhan jenteranya hampir pasti mempertahankan kerusi DUN Tenang esok, namun PAS masih optimis akan berlaku “keajaiban” yang akan memihak kepada calon mereka Normala Sudirman.

Pengarah Pilihan Raya PAS DUN Tenang Salahuddin Ayub berkata, jentera parti komponen Pakatan Rakyat telah bergerak ke tahap paling maksimum sepanjang kempen pilihan raya kecil kawasan itu.

Kempen berakhir tengah malam ini. Pengundian bermula 8 pagi esok.

Beliau juga mengakui menghadapi masalah untuk mendekati pengundi Melayu terutama di kawasan Felda yang merupakan kubu kuat BN.

“Kita dah bergerak ke tahap paling maksimum, kita dah kerahkan kekuatan untuk pastikan segala maklumat dapat disalurkan seperti yang diharapkan.

“Saya akui kita menghadapi saingan yang hebat di kawasan peti-peti undi Melayu tapi kita akan terus ke garisan penamat.

“Walaupun sekarang kita tumpu kepada pengundi Melayu, namun kita tak tinggalkan pengundi bukan Melayu yang kita serahkan kepada PKR dan DAP,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Dengan menyasarkan hanya 75 peratus pemilih yang akan keluar mengundi esok, Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS berkata, Pakatan Rakyat berharap pengundi Melayu akan memihak kepada Normala.

Kerusi DUN Tenang menjadi saingan Normala dan calon Umno-BN Mohd Azhar Ibrahim.

“Kita hanya sasarkan lima hingga tujuh peratus undi Melayu termasuk kawasan Felda. Kita realistik, dulu pada 2008 kita dapat 28 peratus undi Melayu dan sekarang kita sasarkan antara 35 peratus hingga 40 peratus sahaja.

“Bagi pengundi Cina, kita sasarkan antara 75 peratus hingga 80 peratus akan memihak kepada kita manakala pengundi India hanya 50 peratus sahaja.

“Kita boleh menang walaupun majoriti kecil, kita harap akan berlaku sentuhan dan keajaiban esok,” katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menambah, dengan kempen yang dilakukan Pakatan Rakyat, tidak mustahil sekiranya Normala akan memenangi pilihan raya kecil kawasan itu.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau mahu BN mempertahankan DUN Tenang dengan majoriti lebih 5,000 undi pada pilihan raya kecil itu.

Kerusi DUN Tenang mempunyai 14,735 pemilih berdaftar termasuk 18 pemilih pos.

Pilihan raya kecil ke-14 ini diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandang Datuk Sulaiman Taha, wakil rakyat Umno-BN, 17 Disember lepas.

Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran, dengan majoriti 2,492 undi.

Tiada ulasan: