HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Januari 2011

DUN Pelabuhan Klang: Badrul gagal peroleh perintah interim halang SPR

TERKINI

SHAH ALAM — Mahkamah Tinggi Shah Alam tidak memberi Badrul Hisham Abdullah, yang mencabar status kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang, perintah injunksi sementara bagi menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada mengadakan mesyuarat khas menentukan nasibnya, sebaliknya kes itu akan didengar pada 7 Februari ini.

Sebaliknya mahkamah hanya memberikan nasihat kepada pemimpin itu yang keluar PKR untuk menyertai Umno tahun lalu.

Permohonan untuk mendapatkan perintah interim didengar di kamar hakim.

Hakim Datuk Suraya Othman menasihatkan pihak-pihak yang terlibat dalam pertikaian supaya tunggu sehingga kes yang sebenar selesai didengar sebelum sebarang tindakan diambil, kata peguam-peguam Badrul selepas bicara secara tertutup petang ini.

Pagi tadi, Mahkamah Tinggi menetapkan 2.30 petang, 7 Februari ini untuk mendengar permohonan Badrul.

“Pihak-pihak terlibat perlu bertindak sewajarnya khususnya defendan kedua, SPR, untuk hanya mengambil tindakan selepas kes ini didengar di mahkamah pada 7 Februari,” kata peguam Abu Bakar Isa Rahmat kepada pemberita.

Abu Bakar yang mewakili Badrul memfailkan permohonan injunksi pagi ini untuk menghalang SPR daripada memutuskan kemungkinan pilihan raya kecil di kerusi DUN Pelabuhan Klang.

“Mereka tidak dihalang, tetapi apabila mereka mengetahui ada kes yang akan didengar, pihak-pihak terbabit seharusnya tahu apa yang patut dilakukan,” kata seorang lagi peguam Badrul, Wan Azmir Wan Majid.

Katanya, nasihat itu menunjukkan SPR tidak dilarang daripada mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan status kerusi Pelabuhan Klang tetapi sewajarnya mengelak daripada berbuat demikian memandangkan sudah ada kes yang difailkan.

The Malaysian Insider dimaklumkan SPR akan mengadakan mesyuarat khas malam ini untuk membincangkan pilihan raya kecil kerusi Merlimau.

Perkara mengenai Pelabuhan Klang dijangka disentuh.

“Saya percaya SPR sudah pun menerima notis injunksi hari ini,” kata Abu Bakar.

Badrul Hisham mempertahankan beliau masih merupakan Adun yang sah bagi kerusi Pelabuhan Klang.

Tiada ulasan: