HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Januari 2011

PRK Merlimau: Utamakan kepentingan Pakatan

Beri laluan kepada parti yang mempunyai lebih peluang untuk menang.


LABIS: Parti dalam komponen Pakatan Rakyat perlu mengutamakan kepentingan pakatan sebelum membuat keputusan untuk tetap bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau, kata seorang pemimpin kanan PKR Melaka.

Pengarah Pilihanraya PKR Melaka, Mohd Yusof Abdullah berkata, parti komponen perlu mempertimbang dan sedia memberi laluan kepada parti komponen jika mereka mempunyai peluang yang lebih baik untuk menang.

“Dalam soal ini kita perlu sedia bertolak ansur dan sanggup mengenepikan kepentingan sendiri. PAS perlu memberi laluan kepada rakan yang lain jika mereka mempunyai lebih peluang untuk menang.

“Dalam soal ini kita perlu mengukur dan membuat pertimbangan berdasarkan persediaan dan kekuatan semasa yang kita ada.

“Saya tidak nampak PAS Merlimau tidak boleh membuat pertimbangan dan bertolak ansur,” katanya yang juga ketua cabang PKR Bukit Katil itu kepada FMT hari ini.

Mohd Yusuf berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda PAS, Nasaruddin Hassan yang mahu PAS tetap bertanding di Merlimau.

Nasaruddin juga meminta PKR menghormati perjanjian bahawa Merlimau adalah kerusi PAS.

Sebelum ini Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin telah memintanya bertanding di kerusi tersebut.

Asas utama dalam pemuafakatan

Menurut Mohd Yusuf, asas utama dalam pemuafakatan ialah sedia memberi ruang kepada rakan yang mempunyai peluang yang lebih baik.

“Pada pandangan saya PKR mempunyai kekuatan yang cukup bagi menghadapi BN di Merlimau. Peluang untuk kita (PKR) lebih cerah, ini yang penting kerana ia adalah untuk kemenangan Pakatan Rakyat,” katanya.

Menurutnya, Shamsul Iskandar merupakan seorang calon bertaraf gergasi kerana beliau merupakan anak Jasin dan cukup berpengalaman dalam politik dan disegani.

Bagaimanpun, Mohd yusof berkata, pihaknya menerima sebarang keputusan pucuk pimpinan Pakatan Rakyat mengenai parti yang akan bertanding di Tenang.

PRK Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Hidzir akibat serangan jantung minggu lalu.

Tiada ulasan: