HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Mei 2011

Lynas: Nyawa lebih bernilai dari wang

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Kerajaan terus meluluskan projek berbahaya seperti Lynas Advanced Materials Plant di Gebeng dan tidak mempedulikan rayuan rakyat bahawa nyawa dan kesihatan lebih bernilai daripada wang.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris (gambar) berkata nyawa manusia tidak seharusnya dipaksa melalui kesakitan dan penderitaan dalam mengejar pertumbuhan dan kekayaan.

“Untuk tidak mempedulikan tanda amaran walaupun semua bukti ialah untuk menyalahkan diri kita sendiri dan alam sekitar. Kita mempunyai pilihan untuk menuju ke arah masa depan yang lebih selamat dan waras.

“Isunya ialah sama ada kita mahu dan rayuan kita didengar dan tindakan diambil oleh mereka yang berkuasa,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, katanya CAP merasa sedih dan kecewa berhubung beberapa siri kematian baru-baru ini akibat daripada tidak mempedulikan keselamatan.

“Kita telah kehilangan nyawa dan sebahagiannya pula mengalami kecederaan sepertimana apa yang telah berlaku dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat yang mengorbankan 16 orang dan dalam kemalangan terbaru di tempat kerja di mana dua orang pekerja mati apabila tiang kren setinggi 50 meter tumbang ke atas mereka di sebuah tapak pembinaan di Bukit Tunku, Kuala Lumpur,” katanya.

Tambahnya, tragedi dan kemalangan di tempat kerja ini boleh dielakkan jika hanya pihak yang bertanggungjawab mengambil langkah mematuhi aspek keselamatan.

Menurutnya, Malaysia mempunyai undang-undang dan garis panduan yang baik untuk memastikan keselamatan tetapi ia tidak dikuatkuasakan dan dilaksanakan oleh pihak yang berkenaan.

Selepas tragedi berlaku, katanya kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa bahawa langkah yang lebih ketat akan diambil, pemeriksaan dan penyiasatan akan turut dilakukan, janji dan bantuan akan mencurah.

Semuanya, kata beliau akan dijalankan dalam beberapa hari atau minggu yang pertama.

“Kemudiannya selepas itu semuanya dilupakan dan kita akan mendengar tragedi yang sama di masa akan datang.

“Kenapakah berlakunya sikap yang tidak mempedulikan terhadap kesihatan dan keselamatan ini secara terang-terangan?” soalnya.

Soalnya lagi, kenapa pihak berkuasa menutup mata terhadap struktur haram dan berbahaya di tempat kerja, siapakah yang bertanggungjawab apabila berlaku insiden yang tidak dijangka, siapakah yang perlu dipersalahkan – alam semula jadi, takdir atau kecuaian pihak yang berkenaan.

“Apa yang pasti, pertanyaan dan keprihatinan kita terus kekal tidak berjawab.

“Tidakkah kita pernah mengambil iktibar daripada kesilapan yang lepas?” ujarnya.

8 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hope that this project will be scrapped for the health and safety of the people.

Smookiekins berkata...

Tak serik2.

azman berkata...

keselamatan haruslah diutamakan.

Tanpa Nama berkata...

aspek keselamatan harus dikuatkuasakan dan dilaksanakan oleh pihak yang berkenaan. segala kejadian buruk yang berlaku sebelum ini harus dijadikan sebagai satu iktibar dan pengajaran supaya tidak berulang di masa akan datang.

Tanpa Nama berkata...

jika benar berbahaya, jgnlah kita laksanakan.

Unknown berkata...

Betul itu. Jangan kerana kepentingan diri mengorbankan orang lain.

Smookiekins berkata...

Duit boleh cari lagi tapi kalo nyawa tidak boleh ditujar ganti. Tiada spare part.

Tanpa Nama berkata...

tanah runtuh berlaku adakah disebabkan oleh kerajaan? tiang kren tumbang adakah disebabkan oleh kerajaan?? baik saya sabotaj semua kilang dan bangunan di negara ini sebab yang salah bukannya saya, sebaliknya kerajaan..

kita patut tuding jari terhadap kerajaan.. menteri2 sepatutnya berada dibawah tiang2 diseluruh negara, dan dalam masa yang sama mereka patut juga berada dilereng2 bukit diseluruh negara...