| Oleh Dinsman |
Setelah Datuk Ahmad Yaakob mengangkat sumpah sebagai Me
.Sewaktu saya berkunjung ke pejabat Harakah pun cerita konspirasi itu masih kedengaran di situ. Di kalangan kawan-kawan Seniman Paksi Rakyat pun ada yang mempersoalkan cadangan Paksi bekerjasama (menganjurkan satu program) dengan kerajaan Kelantan pimpinan Ahmad Yaakob, dengan alasan tidak mahu bersyubhat dengan konspirasi.
Hingga saya pun menjadi hairan sendiri, mengapa pula saya yang dilihat
(di kalangan kawan-kawan) lebih ‘hampir’ dengan TG Nik Aziz ini tidak
pula berfikir atau terasa demikian? Padahal saya mengikuti (dari jauh)
setiap perkembangan dan pergerakan TG Nik Aziz khasnya di hari
bersejarah 5 Mei itu.
(Zali kawan saya merakam video pergerakan TG Nik Aziz sepanjang hari 5
Mei itu, dari pagi hingga ke malam, yang sepatutnya TG Nik Aziz
mengumumkan keputusan di pejabat PAS Negeri di Bangunan Zulkifli
Muhamad, Kota Bharu, malam itu tetapi beliau tidak hadir. Saya menonton
keseluruhan rakaman video tiga jam itu.)
Keterkejutan orang menerima berita pengunduran TG Nik Aziz itu memang
kita faham, walaupun saya tidaklah terkejut sangat, kerana berdasarkan
apa yang saya selalu ikuti perkembangan hidup dan tugas Tok Guru (telah
masuk tahun ke-23 menjadi Menteri Besar) yang telah mencapai usia 83
tahun, dan persoalan siapakah bakal penggantinya pun telah beberapa kali
dibincangkan, maka soal kemungkinan Tok Guru akan berundur pada
bila-bila masa sahaja itu memang sudah ada dalam fikiran saya. Jadi
berita bahawa bukan TG Nik Aziz yang angkat sumpah pada petang Isnin 6
Mei itu tidaklah memeranjatkan sangat.
Dan mengapa harus fikirkan ada konspirasi? Kerana yang mengambil tempat
Menteri Besar itu rupa-rupanya seorang tokoh yang kurang dikenali ramai
di luar Kelantan. Itulah sebabnya barangkali. Apa sebab lain lagi?
Saya sering ke Kelantan dan acapkali berbincang dengan kawan-kawan di
sana mengenai siapa bakal mengambil tempat MB apabila dikosongkan TG Nik
Aziz (kerana faktor tertentu). Maka saya pun tak berasa pelik apa-apa
dengan berita petang Isnin itu. Memang Ahmad Yaakoblah, siapa lagi?
Memang dia tidak sehebat atau setokoh TG Nik Aziz. Tetapi dialah yang
paling layak di antara yang ada, dan dia pun sudah 10 tahun membantu TG
Nik Aziz, sebagai Timbalan Menteri Besar, sejak 2004.
Lalu bagaimana timbulnya cerita konspirasi itu? Inilah peliknya.
Mengenali TG Nik Aziz secara dekat, dan orang-orang di sekelilingnya,
saya tak dapat melihat di mana wujudnya jalur yang boleh mencetuskan
kita berfikir adanya konspirasi itu. Tak mungkin. Dan hal ini berbeza
sangat dengan cerita yang cuba mensabitkan TG Nik Aziz dengan perbuatan
rasuah dulu itu (yang kemudiannya disahkan karut oleh pihak SPRM
sendiri). Itu digerakkan oleh pihak yang memang bermusuh dengan PAS.
Di kalangan pimpinan PAS Kelantan sendiri wujud tokoh yang boleh
menggerakkan konspirasi bagi menyingkirkan TG Nik Aziz, dan TG Nik Aziz
pun berjaya disingkirkan secara konspirasi itu? (Eh, biar betul!..) Ada
kemungkinkah begitu? Saya tak percaya ada kemungkinan itu.
Namun disebabkan agak meluas cerita itu tersebar di Kuala Lumpur,
termasuk di kalangan kawan-kawan sendiri, saya pun terasa perlu
mengesahkan keyakinan, lalu menghubungi beberapa sumber yang layak
dipercayai di Kota Bharu, termasuk di kalangan keluarga di Pulau Melaka
sendiri.
Memang, sumber-sumber yang mengetahui secara langsung dalam cerita ini
pun mengakui – memang wujud cerita-cerita tak betul di sekitar peralihan
Menteri Besar daripada TG Nik Aziz kepada Ahmad Yaakob itu. Sebab apa
terjadi begitu – biarlah. Yang pentingnya tulisan ini ingin menjelaskan
hal yang sebenar.
TG Nik Aziz sudahpun menyatakan hasratnya untuk berundur itu, kepada
orang terdekat dengannya, sebelum hari mengundi lagi. Dan di hari
mengundi itu selepas membuang undi dan melawat beberapa tempat mengundi,
tengah harinya selepas solat Zuhur di masjid Cabang Empat (sempat
tazkirah sekejap), Tok Guru pulang ke rumah dan tidak keluar lagi,
kerana tidak sihat. Doktor datang ke rumahnya petang itu.
Malam itu semua orang menunggu kehadirannya di Pejabat PAS Negeri untuk
membuat pengumuman keputusan, seperti kebiasaan setiap kali PRU. Tok
Guru tidak hadir. Bukan dia sengaja tidak hadir sebab dia hendak
berundur. “Bukan,” kata anak menantu di Pulau Melaka. “Esoknya saya
sendiri tanya Tok Guru mengapa tak datang. Dia kata sebab tak sihat,
badan jadi tak larat sangat.”
Namun malam itu TG Nik Aziz memanggil mesyuarat Dewan Harian ke
rumahnya pagi-pagi esoknya, pukul 7 pagi. Setiausaha Kerja Dewan Harian
yang buat panggilan, melalui SMS, seperti biasa.
Dalam mesyuarat itulah Tok Guru mencadangkan Datuk Ahmad Yaakob untuk
mengisi jawatan Menteri Besar, dan mendapat persetujuan semua yang
hadir. Selepas mesyuarat itu Tok Guru masuk hospital. Dia bercadang
hendak hadir majlis angkat sumpah di istana petang itu, sebab itu dia
memesan supaya pakaian khas untuk itu turut dibawa ke hospital. Tetapi
keadaan kesihatannya petang itu tidak mengizinkan dia hadir.
Saya meninjau juga pandangan beberapa pihak di Kelantan terhadap
tindakan TG Nik Aziz membuat cadangan pelantikan Datuk Ahmad Yaakob itu.
Rata-rata mereka bersetuju, “untuk mengelak daripada berlaku
perselisihan yang serius dan keadaan yang lebih rumit,” akui seorang YB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan