Roketkini.com
Senator Dr Ariffin Omar berkata, peminggiran graduan Melayu ini harus dilihat melalui pelbagai sudut secara holistik.
“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahkan pihak yang
tidak mengambil graduan Melayu bekerja sahaja tetapi perlu melihat
pokok pangkal punca berlakunya perkara itu,” ujar beliau ketika
dihubungi hari ini.
Mengulas laporan tajuk utama akhbar Utusan Malaysia hari
ini ‘Graduan Melayu disisih’, Dr Ariffin berkata, rakyat Malaysia harus
sedar bahawa penguasaan BN dan UMNO lebih 50 tahun lalu menyebabkan
banyak dasar yang dibuat tidak seimbang malah merugikan orang Melayu dan
rakyat.
Contoh, kata pakar dalam sejarah dan kebudayaan Melayu,
Dasar Ekonomi Baru (DEB) sendiri telah gagal memajukan orang Melayu
tetapi lebih menguntungkan syarikat kroni UMNO yang tidak berpengalaman.
“Akibatnya, berlaku gejala ‘alibaba’ dan kita tidak berasa
janggal kalau ada pihak yang mendakwa DEB lebih menguntungkan ‘bukan
Melayu’. Jangan kita salahkan orang lain. Ini adalah disebabkan dasar
UMNO yang tidak minat untuk majukan orang Melayu sendiri,” tegasnya.
Ditanya mengenai kemunculan banyak Institusi Pengajian
Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S) negara ini, Dr Ariffin berkata, kerajaan
memang tidak ada masalah untuk melaksanakannya.
“Kerajaan boleh bina dan luluskan seberapa banyak IPTA/S,
tetapi adakah ianya berkualiti, bukan sekadar hebohkan isu yang timbul.
Kajilah semula,” katanya.
Mendedahkan apa yang menimpa anaknya, seorang graduan
ijazah bidang undang-undang dari Universiti Malaya (UM), beliau berkata,
ijazah yang diperolehi itu tidak diiktiraf negara jiran, Singapura.
Selain itu, beliau yang juga bekas pensyarah di Universiti
Pertahanan Malaysia dan beberapa IPTA lain turut mendedahkan dilema
utama yang dialami kebanyakan graduan Melayu terutamanya IPTA yang gagal
menguasai bahasa dengan baik.
“Jika kita melihat daripada sudut penguasaan bahasa graduan
Melayu, kebanyakan mereka gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik
sedangkan kebanyakan syarikat besar atau kecil memerlukan graduan yang
boleh menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa,” jelas beliau.
Dr Ariffin mahu agar perkara itu tidak menjadi sebagai
bahan politik untuk menyalahkan orang lain sebaliknya harus mengkaji
semula beberapa perkara yang perlu diberi perhatian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan