HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Jun 2013

Hadiah BN Pasca PRU 13

 Dr Azman Ibrahim

http://buletinonline.net/images/stories/aberita22/Hadiah%20BN.jpgIsu berkaitan kenaikan harga barang-barang dan perkhidmatan adalah isu sejagat  yang berkaitan langsung dengan kepentingan rakyat kebanyakkan dan menyentuh tentang survival kehidupan seharian  mereka. Rakyat umum sebagai pengguna yang  berhadapan dengan arus kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang tak dapat dibendung, tanpa mengira siapa mereka umpama mentimun dengan durian, digilis luka, menggilis pun luka.

Pasca PRU 13, Memang telah dijangkakan akan berlaku kenaikan barangan dan perkhidmatan kerana wang yang telah dilaburkan semasa PRU perlu dikutip semula walaupun trend  kenaikan sekarang berlaku secara senyap-senyap tanpa disedari oleh ramai rakyat.

Hadiah pertama, Caj tambahan sebanyak satu peratus

Pada bil lektrik TNB kepada pengguna dengan jumlah bil RM77 ke atas atau penggunaan melebihi 300kWh sebulan. Tentunya ramai rakyat yang tak menyedari dan tak ambil peduli walaupun pengumuman kenaikannya telah dibuat Ketua Pegawai Esekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari sehari sebelum PRU berlangsung.

Tinjauan di sebuah pusat pembayaran bil TNB di Besut kira-kira sebulan selepas PRU13 mendapati ramai pengguna yang datang dengan ‘surat merah’ untuk menyambung semula bekalan yang telah dipotong merungut, kenapa jumlah bil lektrik mereka naik mendadak terutama selepas penukaran kepada meter digital sedangkan penggunaan hanya biasa-biasa saja sebagaimana sebelum ini. Sudahlah begitu, pantang lewat sikit, bekalan dipotong tanpa budi bicara lagi! Rungut mereka sambil mengucapkan ‘terima kasih’ kepada BN.

http://buletinonline.net/images/stories/aberita22/Kenaikan%20Tambang%20Bas.jpgHadiah kedua, Kenaikan tambang pengangkutan awam

Bila disebut pengangkutan awam, ia bermakna bas dan teksi dalam konteks negeri Terengganu. Keretapi masih menjadi impian kita rakyat Terengganu. Cadangan kenaikan tambang bas sehingga 30% perlu dipandang serius kerana ianya membebankan pengguna dari kalangan rakyat kebanyakkan. Apa sahaja keputusan yang hendak dibuat, pertimbangannya mestilah perkiraan baik buruk kesannya untuk rakyat umum tanpa mengira siapa mereka.

Kita bersimpati dengan para pengusaha bas yang terpaksa menanggung peningkatan kos operasi tetapi kita lebih bersimpati dengan rakyat yang terpaksa menanggung beban kos tambahan dalam keadaan sebaliknya apabila tidak pula berlaku pertambahan kepada sumber pendapatan.

Di sinilah perlunya kebijaksanaan pihak berwajib untuk menjadi orang tengah yang bijaksana. Di mana wang penjimatan yang dikatakan berjumlah RM4.4 bilion hasil dari pemotongan subsidi minyak pada 2006 yang dikatakan akan disalurkan untuk sektor pengangkutan awam. Di dalam Bajet 2009 pula, diumumkan RM 25 bilion untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam dalam tempoh 5 tahun dengan peruntukan segera RM500 juta untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam di Bandar-bandar utama. Apakah semua angka-angka besar ini hanya retorik semata-mata. Kalau memang benar-benar wujud, gunakanlah ia!

Dalam keadaan sebegini, masih ada pemimpin Umno yang masuk kampung membawa hujah lapuk. “Cuba tunjukkan kepada kita, mana ada negara yang semakin maju, kos barangan dan perkhidmatan semakin menurun?” Ya…betul! Tetapi peningkatan kos barangan dan perkhidmatan mesti seiring dengan peningkatan jumlah pendapatan rakyat. Kalau rakyat perlu membayar lebih, dalam masa yang sama harga getah dan kelapa sawit semakin menurun, tentunya ini akan menyebabkan air mata rakyat jatuh berderai.

*** Penulis adalah Pengerusi Lujnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Terengganu

Tiada ulasan: