HALAMAN SANTAI

Jumaat, 21 Jun 2013

Henti salahkan Akta Darurat sebagai punca jenayah naik, kata DAP

Oleh Md Izwan

Pasukan polis tidak wajar memberikan alasan pemansuhan Akta Darurat pada 2011 sebagai alasan peningkatan jenayah di dalam  negara, kata pemimpin DAP Tony Pua yang menyifatkan punca sebenar adalah salah guna sumber pihak berkuasa tersebut.

Kecaman Setiausaha Publisiti DAP tersebut hadir selepas The Malaysian Insider melaporkan kenyataan seorang pegawai tertinggi  dalam pasukan polis yang mengatakan tugasan untuk memerangi jenayah terganggu kerana undang-undang pencegahan yang telah  dimansuhkan.

"Polis Diraja Malaysia perlu berhenti daripada menyalahkan pemansuhan Akta Darurat sebagai punca peningkatan kadar jenayah.

"Jika polis telah mendapat 'maklumat dan kenyataan daripada saksi serta disahkan mereka', jadi mengapakah mereka tidak dapat  mendakwa penjenayah di mahkamah dan heret mereka ke penjara," soal Pua, membidas kenyataan pegawai polis tersebut  semalam yang mengatakan penangkapan dibawah Akta Pencegahan adalah berdasarkan maklumat dan bukti yang tepat, bukan  sekadar mengambil tindakan rambang.

Pua juga berkata kenyataan mengejutkan tersebut mendedahkan ketidakmampuan polis untuk memerangi jenayah, serta mencabar  kerajaan membubarkan Undang-Undang Mahkamah bagi tugas memudahkan polis dan Peguam Negara yang hanya perlu  menangkap dan memenjarakan penyenayah tanpa perlu dibawa ke muka pengadilan.

"Adakah polis mengakui mereka tidak berkemampuan sehinggakan mereka gagal untuk menyiasat dengan membekalkan bukti untuk  membawa penjenayah ke mahkamah dan memberi hukuman kepada mereka mengikut undang-undang sedia ada.

"Oleh itu, lebih baik kita membubarkan Undang-Undang Mahkamah juga memandangkan ia akan memudahkan polis dan Peguam  Negara untuk menghantar penjenayah ke penjara dan tahan tanpa bicara," cabar Pua lagi.

Pua sekali lagi mengulangi pendirian bahawa kegagalan polis memerangi sebenarnya adalah berpunca daripada penggunaan sumber  yang salah dalam pasukan polis serta menggesa penstrukturan semula pasukan polis dengan meningkatkan jumlah anggota pegawai  penyiasat seperti yang dicadangkan dalam suruhanjaya inkuiri diraja (RCI) pada 2005 untuk membanteras jenayah-jenayah yang  berlaku diseluruh negara.

“Sejak lapan tahun lalu, jabatan penyiasatan jenayah (CID) merangkumi hanya 9 peratus daripada pasukan polis, ia tidak berubah  sejak dahulu lagi.

“Jumlah ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan 41 peratus anggota polis yang menjalankan kerja pengurusan dan 31 peratus  lagi ditugaskan Pasukan Simpanan Persekutuan,” tambah Pua lagi, yang juga menggesa 20,000 anggota polis beruniform yang  berada dalam pejabat supaya ditugaskan menjalankan kerja luar.

Putrajaya telah mengatakan dari 2009 hingga 2012, kadar jenayah kebangsaan menurun sebanyak 27 peratus sementara jenayah  jalanan menurun sebanyak 39.7 peratus.

Polis mengatakan kadar jenayah juga jatuh enam peratus untuk suku tahun pertama 2013 berbanding tempoh yang sama tahun  lepas tetapi beberapa kumpulan mempertikaikan angka tersebut, mengatakan ianya telah diubah.

Kes terbaru yang mendapat perhatian awam adalah tentang pembunuhan dan percubaaan merompak terhadap wanita berumur 52  tahun Irene Ong di Bukit Gasing pada April lalu yang mengundang rasa marah dan sedih ke atas pemergian wanita tersebut.

Pengerusi Pemantau jenayah MyWatch R. Sri Sanjeevan mengatakan Putrajaya dan polis hanya memberitahu jenayah adalah satu  persepsi dalam tindak balas terhadap kebimbangan awam.

MyWatch menuduh polis Februari lalu mengubah statistik jenayah, mendakwa kes-kes ragut dan samun tanpa senjata api serta  kecurian dan pecah rumah, adalah lebih tinggi daripada indeks jenayah diterbitkan dari Januari hingga Oktober 2011.

Pihak polis walau bagaimanapun menafikan melakukan memanipulasi angka jenayah negara. - 21 Jun, 2013.

Tiada ulasan: