HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Jun 2013

Kembalikan wang royalti kepada rakyat

Syed Abdullah Jamalullail


Memandangkan Negeri Terengganu kaya raya kerana hasil minyaknya dan mendapat tidak kurang 1 bilion ringgit setiap tahun melalui wang royalti 5 peratus  daripada Petronas. Wajar sekali dan sampai masanya kesemua wang royalti itu atau sekurang-kurangnya 80% daripadanya diberikan secara terus kepada seluruh rakyat Terengganu tidak kira apa status mereka asalkan mereka ini anak jati Negeri Terengganu.

Tubuhkan yayasan berkenaan untuk agihkan bantuan sama ada melalui saham atau pun imbuhan bulanan kepada rakyat Terengganu. Kita tidak mahu lagi melihat rakyat hanya dapat melihat kekayaan sahaja tetapi tidak dapat menjamahnya secara terus bak petikan daripada cerita 'Tiga Abdul' - hanya dapat baunya sahaja tetapi tidak boleh menikmati apa yang terhidang didepan mata.

Kerajaan Terengganu perlu membantu rakyat secara terus dan bukannya dibantu dengan hanya membuat pembangunan yang kadangkala tidak begitu diperlukan sangat. Kerajaan negeri hendaklah juga memikirkan rakyat yang miskin agar mereka juga mendapat menikmati kekayaan yang Allah kurniakan kepada Negeri Terengganu.

Saya cadangkan agar segala wang ehsan atau wang royalti yang diperoleh disalurkan terus kepada rakyat dan pendapatan Negeri Terengganu yang lainnya barulah disalurkan untuk pembangunan termasuk pendidikan. Selagi kita tidak merubah bagaimana hendak diubah daripada baik kepada yang terbaik? Rakyat perlukan bantuan dan bantulah mereka sehingga setiap rakyat mendapat manfaatnya serta tiada lagi rakyat yang dikategorikan sebagai miskin tegar.

Tiada ulasan: