SINAR HARIAN
SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diminta mempertimbangkan
cadangannya untuk menaikkan kadar bayaran tempat letak kereta di kawasan
pentadbirannya daripada 40 sen sejam kepada 60 sen sejam.
Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata sekiranya kadar
baharu itu dilaksanakan ia akan membebankan penduduk berpendapatan
rendah di bandar raya itu.
Beliau berkata pihaknya tidak nampak keperluan untuk menaikkan kadar
sedia ada memandangkan kedudukan kewangan dan pentadbiran MBSA berada
dalam keadaan kukuh dan stabil.
"Sepatutnya MBSA perlu berbangga dengan kadar rendah sedia ada yang
boleh dicontohi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan lain dan
sepatutnya sistem bayaran tempat letak kereta sedia ada dinaik taraf
bagi memastikan penduduk Shah Alam membuat bayaran ketika meletak
kenderaan masing-masing. MBSA perlu berkhidmat kepada penduduk Shah Alam
bukan menambah masalah kepada mereka," katanya dalam sidang media di
sini hari ini.
Pada 29 Mei lepas, Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan
mengumumkan MBSA akan menaikkan kadar bayaran tempat letak kereta di
kawasan pentadbirannya daripada 40 sen sejam kepada 60 sen sejam dalam
masa terdekat.
Beliau berkata ini berikutan kadar 40 sen yang diperkenalkan sejak 1998
sudah tidak sesuai dengan keadaan semasa dan status Shah Alam sebagai
bandar raya.
Dalam perkembangan lain, Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS
Selangor menggesa supaya MBSA menarik balik kelulusan pembinaan panggung
wayang di Alam Avenue 2, Seksyen 16 di sini yang mendapat bantahan
daripada penduduk sekitar.
Beliau berkata MBSA sepatutnya mengambil kira pandangan penduduk
sebelum meluluskan pindaan pada pelan asal yang sepatutnya tiada
pembinaan panggung wayang.
"Saya sebelum ini telah menulis pada pihak istana untuk pertimbangkan
perkara ini dan pihak istana menyatakan bahawa mereka tiada halangan
(tentang pembinaan panggung wayang) tetapi keputusan terserah kepada
MBSA. Saya kemudian telah menulis kepada Datuk Bandar tetapi sehingga
kini tiada respons diberikan," katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan