Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad 
 
SHAH ALAM - PKR hari ini menggesa supaya pendakwaan terhadap aktivis yang memperjuangkan demokrasi dihentikan serta merta ekoran penahan yang dilakukan oleh penguatkuasa semalam.

Pengarah Komunikasinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan aktivis tersebut hanya ingin menunjukkan rasa prihatin terhadap sistem demokrasi yang didakwanya sebagai  "tempang".

"PKR mengutuk sekeras-kerasnya penahanan aktivis di luar bangunan Parlimen yang membantah perjalanan PRU 13 yang tidak adil.

"Aktivis-aktivis tersebut hadir sebagai melahirkan rasa prihatin mereka terhadap institusi demokrasi di negara kita yang sudah tempang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Badrul Hisham Shaharin dan aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim adalah antara 32 peserta 'Black 505' termasuk tiga wanita yang ditahan polis kerana merempuh kawalan polis di pintu masuk bangunan Parlimen.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata tindakan peserta perhimpunan haram itu juga menyebabkan beberapa pegawai dan anggota polis cedera.

Dalam kejadian itu, seorang pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul turut cedera di mata kanan dan hidung manakala seorang anggota polis IPD Dang Wangi patah gigi hadapan, terseliuh ibu jari dan tangan kiri.

Selain itu, beberapa anggota polis yang membuat kawalan juga mendapat cedera ringan.

Dalam perkembangan berkaitan, kesemua yang ditahan telah dibebaskan dari Balai Polis Jinjang awal hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, kesemua peserta termasuk tiga wanita itu dibebaskan secara berperingkat dengan yang terakhir pada 2 pagi selepas keterangan mereka diambil.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 9(5) dan Seksyen 4(2)(C) Akta Perhimpunan Aman 2012. Mereka turut disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.