HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Jun 2013

Pegawai Paul Low ‘salah cakap’ kata keluarga Dharmendran

Oleh Mohd Farhan Darwis

PETALING JAYA— Keluarga mendiang N. Dharmendran menyalahkan pegawai kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low “salah cakap” ketika menghubungi mereka bagi menawarkan bantuan berhubung kes kematian mendiang semasa dalam tahanan polis.

Isterinya, M. Marry berkata sekiranya pegawai berkenaan benar-benar ikhlas ingin membantu keluarganya, mereka boleh datang ke rumah tanpa perlu merahsiakan sebarang tindakan.

“Kalau nak bantu, datanglah rumah saya, bukan salah faham dengan Paul Low (gambar), orang yang ckp bagi pihak beliau itu salah cakap bukan kita salah faham,” tegas Marry ketika sidang media bersama Naib Presiden PKR N. Surendran di Ibu Pejabat PKR di sini.

“Bukan cakap dalam telefon ... mahu semua ini semua lawyer tukar, secara rahsia,” tegasnya.

Keluarga Dharmendran, 31, mangsa kematian dalam lokap polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur sebelum ini berkata pihaknya dihubungi Ravendran daripada Pejabat Perdana Menteri dan mahu berjumpanya secara rahsia bagi berbincang berkenaan kematian Dharmendran tanpa melibatkan pengetahuan peguam mereka.

Paul ketika menjelaskan perkara itu berkata, keluarga Dharmendran tersalah faham berkenaan tujuan beliau, sebaliknya menegaskan pihaknya hanya ingin memaklumkan beliau sedia bekerjasama dengan keluarga berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, siasatan Jawatankuasa Khas berhubung kes kematian dalam tahanan akan diselarikan dengan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Beliau berkata pihaknya telah berbincang dengan peguam kanan dan bersetuju supaya siasatan berhubung kes-kes kematian dalam tahanan polis dijalankan oleh kedua-dua pihak, dan kementerian itu juga jelasnya tidak akan memihak kepada mana-mana pelaku walaupun ianya melibatkan pegawai penguasa mereka sendiri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini diumumkan akan mengetuai panel siasatan khas bagi menyiasat kes kematian dalam tahanan melibatkan N. Dharmendran, 32.

Pembangkang bagaimanapun menolak penubuhan badan penyiasat berkenaan, sebaliknya menggesa kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya mewujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Pakatan Rakyat (PR) sebaliknya melihat panel siasatan yang diketuai Khalid itu juga sia-sia dan hanya mengitar semula idea dan konsep sama seperti siasatan kematian A. Kugan ketika dalam tahanan polis pada Januari 2009.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low juga sebelum ini menolak penubuhan IPCMC, sebaliknya menegaskan, mekanisme untuk membuat aduan terhadap polis sudah diwujudkan melalui EAIC.

Isteri Dhamendran bagaimanapun berkata tindakan yang diambil kerajaan dalam menangani kes yang menimpa keluarganya adalah “membuang masa dan sia-sia” sedangkan pegawai yang terlibat masih bebas tanpa diambil tindakan tegas.

“Apa mereka buat tu semua buang masa, kalau kita orang awam bunuh orang terus tangkap, penjara, tapi polis bunuh orang hanya tukar kerja!

“Tak layak langsung bekerja! Malu saya sebagai rakyat Malaysia, polis hanya buang masa,” tegasnya lagi sambil mengalirkan air mata.

Tiada ulasan: