HALAMAN SANTAI

Ahad, 2 Jun 2013

Peguam Negara nafi wujud konspirasi politik pendakwaan Dr Khir

NIZAM ZAIN

Abdul Gani Patail
Abdul Gani Patail 
 
SHAH ALAM – Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini menafikan wujudnya unsur konspirasi atau tekanan serta campur tangan politik terhadap kes perbicaraan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo atas tuduhan rasuah.

Malah Abdul Ghani menegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga tidak pernah campur tangan dalam soal mengenakan tuduhan terhadap sesiapa pun khususnya perkara yang melibatkan Jabatan Peguam Negara.

“Saya membuat keputusan untuk mendakwa kes ini berdasarkan keterangan daripada siasatan yang telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bersandarkan kepada peruntukan undang-undang sedia ada, sama ada untuk menuduh Mohamad Khir atau sebaliknya.

“Pertuduhan terhadap Mohamad Khir adalah berdasarkan kepada keterangan yang kukuh dan bukan atas faktor politik atau menjadikan beliau sebagai ‘kambing hitam’.

“Daripada menuding jari ke atas mana-mana pihak kononnya wujud unsur konspirasi atau tekanan, langkah terbaik yang beliau perlu ambil ialah menyediakan pembelaannya di peringkat rayuan Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Abdul Gani, beliau turut berasa kesal apabila kenyataan Khir Toyo dalam laman blognya www.drkhir.com semalam mempertikaikan keputusan hakim sekaligus cuba menghina mahkamah dan tidak menghormati barisan peguam beliau sendiri walhal kesnya itu dikupas dengan panjang lebar dan teliti dalam penghakiman yang dikemukakan pada hari keputusan.

“Semua fakta dan keterangan telah dikemukakan di mahkamah semasa perbicaraan dan dokumen-dokumen yang diterima oleh mahkamah mengikut prinsip undang-undang dan disoal panjang lebar oleh barisan peguam Mohamad Khir.

“Namun fakta ini tidak dinyatakan oleh beliau dalam blognya semalam,” tegasnya.

Dalam kes itu katanya, pendakwaan bukan sahaja telah membuktikan Mohamad Khir membeli hartanah bernilai RM3.5 juta itu sebagai tidak memadai atau mencukupi daripada Shamsuddin, malahan juga telah membuktikan wujud perancangan teliti bekas Menteri Besar itu untuk memiliki hartanah tersebut sejak 2004.

Dalam pada itu, tindakan Mohamad Khir menyatakan beliau tidak bersalah di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan di laman blognya adalah tidak wajar seolah-olah cuba mempertikaikan kebijaksanaan para hakim dari segi membuat penilaian keterangan dan tidak arif terhadap peruntukan undang-undang yang sedia ada sedangkan bukti adalah kukuh.

“Segala perancangan teliti Mohamad Khir untuk membeli hartanah tersebut dan menggunakan Shamsuddin untuk mencapai hasrat beliau ini jelas menunjukkan kesalahan yang dilakukan kerana beliau telah menyalahgunakan kedudukan atau pengaruhnya selaku Pengerusi PKNS terhadap seorang yang berurus niaga dengan PKNS.

“Mohamad Khir seharusnya tidak mengaburi fakta kes ini dengan mendakwa hakim tidak menyatakan apakah tanda aras yang boleh digunakan, sedangkan beliau telah dibuktikan telah menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan atau membeli hartanah itu dengan harga yang beliau ketahui tidak munasabah sama sekali dari pemiliknya,” jelasnya.

Abdul Gani juga menasihatkan Mohamad Khir supaya berhati-hati dan bijak dalam membuat sesuatu andaian khususnya membuat kenyataan tidak bersalah yang disebarluaskan melalui media sosial sedangkan kes beliau dibicarakan sepenuhnya dan telah diputuskan berdasarkan prinsip undang-undang dan sistem keadilan jenayah Malaysia.

Bekas Ahli Parlimen Sungai Panjang itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan merupakan satu kesalahan berjadual (prescribed offence) di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 (pada ketika kesalahan dilakukan), berhubung kesalahan yang dilakukan oleh seorang pegawai atau kakitangan kerajaan yang menerima atau memperolehi sesuatu daripada seseorang yang beliau mengetahui mempunyai urusan rasmi dengan beliau tanpa balasan yang mencukupi.

Seksyen 165 Kanun Keseksaan adalah dikategorikan sebagai kesalahan rasuah juga kerana ia berhubung penyalahgunaaan kedudukan secara tidak langsung terhadap individu berkenaan.

Hukuman maksimum bagi kesalahan ini adalah dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekala. Ia berbeza dengan kesalahan rasuah yang nyata yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Tiada ulasan: