Sejak kebelakangan ini heboh diperkatakan
tentang isu pengguguran Dr Xavier sebagai Exco Negeri Selangor baru-baru
ini, kata Abdul Razak Ismail, bekas pembantu khas beliau.

PETALING JAYA: Sekumpulan ahli PKR yang tidak puas hati dengan pengguguran Adun Seri Andalas Dr Xavier Jayakumar sebagai Exco negeri Selangor, meminta PKR menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat isu tersebut.
Mereka juga menyarankan PKR mengeluarkan kertas putih hasil siasatan agar PKR dilihat melaksanakan dan mengamalkan prinsip terbuka dan telus.
“Sejak kebelakangan ini heboh diperkatakan tentang isu pengguguran Dr Xavier sebagai Exco Negeri Selangor baru-baru ini,” kata Abdul Razak Ismail, bekas pembantu khas beliau.
Menurut beliau, gelombang bantahan ahli-ahli PKR dari kalangan masyrakat India mendapat liputan meluas di akhbar-akhbar berbahasa tamil, media sosial dan laman-laman web tempatan.
Penyerahan memorandum dan perhimpunan secara aman oleh ahli-ahli parti dari kalangan masyarakat India di hadapan ibu pejabat PKR di Tropicana, Petaling Jaya jelas menunjukkan ketidakpuasan hati kaum India terhadap pengguguran Xavier yang dilihat sebagai peminggiran seorang pemimpin India oleh pucuk pimpinan PKR.
“Lantaran, kita mencadangkan satu panel jawatankuasa ditubuh dimana perlu dianggotai oleh individu-individu bebas dan bukannya dari kalangan pimpinan parti bagi mengelakkan prasangka dan pertindihan kepentingan (conflict of interest).”
Tiga perkara utama yang perlu diberi fokus utama adalah:-
a) Datuk Seri Anwar Ibrahim , Ketua Umum PKR dalam pertemuannya dengan enam orang wakil NGO dan parti pada malam 27 Mei, 2013 di kediamannya di Segambut mengatakan bahawa Biro Politik PKR telah menyenaraikan nama Dr Xavier sebagai salah seorang calon Exco dan senarai tersebut telah diserahkan ke pejabat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor.
Persoalannya apa jadi seterusnya dengan senarai tersebut?
b) Sumber-sumber yang layak dipercayai mengatakan bahawa satu senarai nama calon PKR telah diserankan ke pihak Istana Sultan Selangor semasa “ketiadaan” Abdul Khalid yang menjalani pembedahan lutut di Jerman.
Persoalannya adakah isi kandungan senarai tersebut sama dengan salinan yang telah diputuskan oleh Biro Politik parti?
c) Ada juga laporan mengatakan bahawa pihak Istana menolak nama Dr Xavier ekoran terdapatnya memorandum bantahan yang diserahkan oleh segelintir “ahli-ahli PKR” sendiri yang tidak mahu beliau kekal sebagai Exco bagi penggal kedua.
Sekiranya ia benar persoalan kenapa Abdul Khalid tidak melakukan penjelasan kepada pihak Istana untuk mempertahankan Dr Xavier dari tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau? Adakah parti juga turut merestui tindakan segelintir ahli-ahli tersebut?
“Ramai yang beranggapan bahawa upacara pelantikan 10 orang Exco pada 30 Mei lalu di Istana Klang baru-baru ini bukan jalan penyelesaian dan bertegas mengatakan,bahawa isu perlantikan Exco ini belum selesai dan tidak boleh ditutup begitu sahaja,” kata Abdul Razak.
“Ianya ibarat menyapu sampai ke bawah permaidani (sweeping the problem under the carpet). Ada masa dan ketika ianya bakal meletup,” tambah beliau.
PKR harus punyai “keberanian” untuk menegakkan kebenaran kerana isu ini bukan sekadar isu “Exco India” PKR atau isu peminggiran pemimpin India dalam PKR tetapi sebaliknya ianya melibatkan
kredibiliti dan tahap ‘keboleh percayaan’ kepada setiap patah perkataan yang diucapkan oleh pucuk pimpinan parti dalam isu ini.
Ianya juga melibatkan sama ada Dr Xavier diberikan ‘keadilan’ dan ‘layanan sewajarnya’ oleh parti yang dianggotainya sejak 13 tahun yang lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan