HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Jun 2013

Postmortem selesai menjelang muktamar - Salahudin

Anis Nazri,


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Postmortem Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dijangka selesai menyiapkan laporan lengkap berhubung prestasi PAS dalam PRU13, menjelang muktamar tahunan PAS ke-59.

Pengerusinya, Salahuddin Ayub (gambar) , berkata laporan lengkap itu akan dibentangkan selewat-lewatnya akhir Oktober ini dengan penglibatan 15 kumpulan sasaran yang bakal memberikan pandangan dan input kepada jawatankuasa tersebut.

Selain organ parti, kata Salahuddin kumpulan sasaran lain yang akan terlibat dalam memberikan input itu, termasuklah daripada badan NGO, tokoh politik, sosial, ekonomi dan juga akademik.

Dalam masa sama, tegas Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS itu, jawatankuasa juga akan mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil negeri untuk mendapatkan input secara langsung supaya laporan yang diterima meliputi di peringkat akar umbi.

"Setelah bermesyuarat dua kali sebelum ini, jawatankuasa telah menyediakan format laporan serta terma-terma bagi kegunaan jawatankuasa, selain menetapkan tarikh-tarikh untuk diadakan pertemuan dengan PAS negeri-negeri bagi mendapatkan maklumat mengenai prestasi PAS pada PRU13 lepas," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Bagaimanapun kata beliau, jawatankuasa sudah mula menerima beberapa maklumat daripada pihak tertentu, termasuk data-data dan hasil kajian yang akan diperhalusi oleh jwatankuasa.

Mengulas lanjut perlantikan jawatankuasa itu, Salahuddin berkata 13 ahli jawatankuasa telah dipilih bagi memantapkan gerak-kerja jawatankuasa tersebut, termasuk wakil daripada Dewan Muslimat PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Ulama PAS Pusat.

Beliau berharap dengan pelantikan tersebut akan melancarkan lagi urusan post mortem tersebut dalam mengenalpasti prestasi PAS dan punca kekalahan PAS di beberapa kerusi yang dahulunya merupakan kerusi PAS.

Tiada ulasan: