HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Jun 2013

Tahanan mati kerana soal siasat terlalu keras?

Salmiyah Harun,


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar tidak menolak bahawa kematian dalam tahanan polis disebabkan adanya tekanan daripada polis ketika proses penyiasatan.

Beliau berkata, proses penyiasatan yang dilakukan terhadap tahanan mungkin terlalu keras sehingga menyebabkan berlaku kematian.

Ini kerana katanya, Menteri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi menyatakan antara faktor kematian di dalam tahanan disebabkan gantung diri dan pergaduhan sesama mereka.

"Mungkin kerana proses penyiasatan terlalu keras sehingga ada kes pukul sesama sendiri dan membunuh diri," katanya ketika mengajukan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, jika kerajaan memberi komitmen yang kuat untuk menubuhkan IPCMC tidak mustahil ia akan menjadi sebuah suruhanjaya yang berkesan bagi mengelakkan kejadian kematian dalam tahanan.

Sementara itu, Zahid dalam jawapannya menegaskan Suruhanjaya Peguatkuasaan Agensi Kerajaan (EAIC) mempunyai skop yang lebih besar dan mencakupi kesemua agensi kerajaan.

Zahid turut berjanji beliau tidak akan berkompromi dan melindungi pegawai polis yang terlibat menyebabkan kematian tahanan.

Menteri berkenaan juga menafikan bahawa kematian dalam tahanan bukan disebabkan keganasan polis sebaliknya, kerana penyakit yang dialami oleh tahanan.

Beliau berkata mengikut rekod kematian dari tahun 2000 hingga Mei 2013 sebanyak 231 dicatatkan dan hanya dua kematian yang dicatatkan adalah berpunca daripada pihak polis.

"Bukan semua kematian dalam tahanan disebabkan keganasan polis, hanya dua kes sahaja.

"Daripada 231 kes, 196 tahanan mati akibat daripada penyakit asma, HIV dan serangan jantung," kata Ahmad Zahid menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Johari Abdul (PKR- Sungai Petani) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Tiada ulasan: