Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Keengganan UMNO membuka keahlian
kepada semua rakyatMalaysia bermakna tidak akan ada satu parti pun
daripada Barisan Nasional (BN) menjadi inklusif untuk semua kaum.
Sekaligus slogan 1Malaysia Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak tidak bermakna langsung kecuali satu propaganda untuk
pilihan raya yang akhirnya akan terbuang apabila BN memenangi jumlah
kerusi Parlimen terbanyak walaupun kalah undi popular.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kenyataan Ketua
Penerangan UMNO merangkap Timbalan Menteri, Datuk Ahmad Maslan bahawa
adalah mustahil bagi UMNO menjadi sebuah parti tunggal untuk semua
rakyat Malaysia membuktikan UMNO mahu terus memecahbelahkan rakyat
Malaysia mengikut kaum demi memelihara kekuasaan mereka.
“Lebih 50 tahun BN yang dianggotai UMNO, MCA dan MIC telah
memecahbelahkan Malaysia menurut kaum demi menghalalkan salah guna kuasa
mereka, terutamanya rasuah, kapitalisme kroni dan penafian atau
menghalang hak asasi manusia.
“Walaupun BN pertama kali dalam sejarah kalah undi popular
pada Pilihan Raya Umum 2013 dengan hanya 47% berbanding 53% undi popular
yang diraih Pakatan Rakyat, UMNO masih enggan menerima hakikat
penolakan keras masyarakat terhadap politik perkauman,” katanya dalam
kenyataan media hari ini.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Pakatan
Rakyat memenangi undi orang Melayu bandar dan anak muda Melayu dengan
majoriti jelas iaitu di peringkat nasional, Pakatan Rakyat memenangi 43%
undi orang Melayu.
Menurutnya, mesej perkauman UMNO tidak mampu melampaui
rasuah dan salah guna kuasa yang ia lakukan dan ini bermakna rakyat
Malaysia daripada semua kaum memberikan mesej lantang dan jelas pada
PRU-13 lalu bahawa mereka mahu menjadi ‘Malaysian first’, di mana rakyat
mendahului kroni, prinsip dan polisi yang baik dilihat lebih penting
daripada kebencian dan ketakutan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan