HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Jun 2013

Uthayakumar dari Hindraf dipenjarakan kerana menghasut

 TERKINI
 THE MALAYSIAN INSIDER

P.Uthayakumar (tengah) di sebuah perkumpulan Hindraf pada tahun 2

KUALA LUMPUR — Pemimpin hak asasi India P. Uthayakumar dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan enam bulan hari ini kerana menulis kenyataan menghasut dalam suratnya kepada Perdana Menteri British Gordon Brown pada 2007. 
 Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Ahmad Zamzani Mohd Zain menjatuhkan hukuman tersebut tengah hari tadi selepas mendapati aktivis bertukar ahli politik itu gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Uthayakumar, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dituduh mengeluarkan bahan menghasut itu pada Brown diantara 15 November dan 8 Disember 2007, dan didakwa pada 11 Disember tahun sama dengan jenayah.

Beliau didakwa di bawah seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan jika disabitkan kesalahan, akan dikenakan penalti denda atau tiga tahun penjara jika kesalahan pertama.

Uthayakumar dijatuhkan hukuman hari ini beberapa jam selepas adiknya P. Waythamoorthy mengangkat sumpah sebagai Senator dalam kerajaan baru Barisan Nasional (BN).

Ahmad Zamzani memerintahkan Uthayakumar menjalani hukuman penjara itu hari ini.

Dalam keputusannya, hakim itu berkata mahkamah memandang serius perbuatan yang dilakukan tertuduh di bawah Akta Hasutan 1948.

Mengikut pertuduhan pindaan, Uthayakumar didakwa menulis sepucuk surat yang berbaur hasutan yang dialamatkan kepada Gordon Brown, yang ketika itu merupakan perdana menteri Britain di 10 Downing Street, London, United Kingdom.

Uthayakumar yang diwakili peguam M. Manoharan, didakwa melakukan kesalahan itu di satu alamat di Jalan Toman 7, Kemayan Square, Seremban, Negeri Sembilan pada 15 Nov 2007, mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin memohon hukuman penjara dikenakan terhadap tertuduh kerana hukuman denda tidak memadai bagi kesalahan itu.

“Tertuduh dengan jelas menghamburkan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas kepada kerajaan yang memerintah. Bukan kerana kami menyatakan kerajaan tidak boleh dikritik tetapi kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh dapat mengganggu gugat ketenteraman dan keselamatan negara,” katanya seperti dilapor oleh agensi berita Bernama.

Noorin berkata perkataan yang digunakan tertuduh seperti “mini genocide”, “ethnic cleansing” dan “Islamic extremist” di peringkat antarabangsa menggambarkan perbuatan jenayah yang sangat dahsyat dan penindasan kaum yang amat kejam.

“Kenyataannya itu telah melampaui had antara kritikan yang sah dengan hasutan dan perbuatannya boleh mencemar perpaduan negara kita yang tidak boleh dipandang enteng,” tegasnya lagi.

Noorin berkata tertuduh telah mencemar maruah negara dengan mewar-warkan surat yang ditulis kepada pemimpin luar negara itu di media elektronik yang boleh diakses secara meluas.

Uthayakumar yang kelihatan bersahaja sepanjang prosiding enggan mengemukakan rayuan untuk mengurangkan hukuman walaupun diberi peluang oleh mahkamah.

Tiga saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang perbicaraan bermula pada 2009 manakala pembelaan hanya mengemukakan seorang saksi iaitu tertuduh.

Tiada ulasan: