KUALA LUMPUR — Bantuan segera perlu disalurkan kepada lebih 170 penuntut Malaysia yang menjadi mangsa banjir di Brisbane, Australia sejak dua minggu lalu.
Pengerusi Biro Antarabangsa Veteran Umno Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata pihaknya terkilan kerana sehingga kini tiada bantuan disalurkan kepada para penuntut berkenaan.
“Perkara ini telah lama disuarakan oleh pelajar-pelajar itu, namun banyak pihak memandang ringan tentang isu ini. Kenapa sehingga kini tiada yang memberi bantuan segera kepada mereka,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata penuntut Malaysia terbabit kini berada dalam keadaan bimbang berikutan bencana alam yang berlaku, malahan ada di kalangan penuntut terpaksa berkongsi makanan setelah terputus bekalan makanan.
“Pihak-pihak terlibat misalnya Kedutaan Malaysia di Australia, Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) dan Wisma Putra perlu berbuat sesuatu agar perkara ini tidak berlarutan,” katanya.
Mustapha mengulas laporan sebuah akhbar tempatan mengenai penuntut yang terlibat dengan banjir itu kecewa dengan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia dan MSD gagal menyalurkan bantuan kepada mereka.
Banjir terburuk dialami Queensland dalam tempoh seabad itu menyaksikan air berlumpur, yang melimpah dari Sungai Brisbane, mencapai paras setinggi lampu isyarat di beberapa tempat dengan kira-kira 20,000 rumah tenggelam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan