Datuk Seri Noh Omar (dua, kiri) bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Selangor dan ADUN Barisan Nasional di Bangunan Umno Selangor. — Foto Bernama
Oleh itu kata Noh, Menteri Besar Selangor itu seharusnya dengan jelas telah memberitahu bahawa kerajaan negeri berhasrat untuk mengembalikan sistem raja berperlembagaan di mana Sultan dikehendaki bertindak atas nasihat seorang menteri besar.
“Beliau berbohong kepada rakyat,” kata beliau kepada The Malaysian Insider dalam temu bual eksklusif dengan The Malaysian Insider.
“Jika (kerajaan) raja berperlembagaan (yang beliau mahukan), beliau perlu memberitahu rakyat, sekarang saya meminda perlembagaan supaya Sultan perlu mendengar pada saya. Itu yang perlu beliau katakan,” kata anggota jemaah menteri kerajaan pusat ini.
Kerajaan negeri telah gagal untuk mendapatkan majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meminda Artikel 52(1) Undang-undang Tubuh Negeri Selangor pada sidang khas Dewan Undangan Negeri yang diadakan kelmarin.
Pindaan itu antara lainnya bertujuan mengembalikan kuasa Sultan Selangor dan Menteri Besar dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri.
Pindaan itu dicadangkan ekoran pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang mendapat bantahan kerajaan negeri dengan alasannya ianya tidak dirujuk kepada Menteri Besar.
Noh yang mengetuai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, BN akan bekerja keras untuk menjawab “pembohongan” sedemikian.
“Jika kami tidak bertindak rakyat akan percaya mereka (Pakatan Rakyat). Selagi rakyat percaya pada pembohongan itu kami bermasalah,” kata Noh.
Ahli Parlimen BN ini menambah, barisan pembangkang negeri itu akan memberitahu pengundi-pengundi mereka bahawa PKR tidak menghormati Sultan dan mahu merampas kuasa raja.
Justeru Noh juga mendakwa kerajaan Pakatan Rakyat akan kehilangan sokongan pengundi.
“Kita lihat demonstrasi Ahad lalu tidak popular. Mereka menjanjikan 10,000 orang tetapi hanya beberapa ratus yang hadir.
“Semalam (hari Isnin) juga tiada respons pada protes yang hendak diadakan (di pekarangan bangunan SUK),” kata Noh.
“Ini menunjukkan bahawa rakyat sudah hilang kepercayaan ke atas mereka,” kata wakil rakyat kawasan Tanjong Karang ini.
Selepas sidang khas DUN kelmarin, Khalid berkata beliau bercadang membawa isu pindaan berkenaan untuk semakan kehakiman.
Saya mahu buat perubahan. Perubahan ini perlu. Saya tahu politik banyak permainan tapi pengurusan (berlainan), kalau tidak, tak dapat ukur kecekapan (pentadbiran),” katanya.
Khalid berkata beliau akan pergi ke seluruh Selangor termasuk di kawasan kerusi BN untuk menerangkan isu pindaan itu yang mana kerajaan Pakatan Rakyat sudah berusaha sedaya upaya untuk memartabatkan institusi raja dengan mengembalikan kuasa Sultan tapi gagal.
“Saya berharap kita bersama-sama belajar. Mengapa kita tak buat perubahan. Kita jaga Selangor, kita wakil rakyat. Takkanlah kita nak benarkan (kerajaan) persekutuan halang pembangunan (negeri ini), katanya.
Katanya, apa yang berlaku kelmarin adalah sejarah dan akan direkodkan dalam hansard Dewan dan akan dikenang dan boleh dibuat rujukan supaya masa depan negara kita akan lebih baik dan terbuka.
“Kepada anggota Dewan yang tak bersetuju dengan pindaan, tak mengapa, tak ada masalah," katanya.
Semalam, Noh juga berkata, BN Selangor akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negeri bagi menjelaskan kepada rakyat mengenai isu pindaan undang-undang tubuh negeri itu yang cuba dilakukan kerajaan Selangor.
Noh berkata kesemua wakil rakyat BN Selangor akan melawat 56 kawasan Dewan Undangan Negeri dan menceritakan kepada rakyat perkara sebenar yang berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan