Untuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, kontroversi Interlok telah dibubuh noktah setelah perkataan "pariah" digugurkan dari buku tersebut. Namun demikian, satu forum yang diadakan sebelum keputusan ini diumumkan, telah mengetengahkan persoalan pokok dalam isu Interlok:
"Boleh tak kita cabut Ketuanan itu? Kalau cabut, itu satu buku hancur. Itu (fikiran Ketuanan) yang mendasari buku itu. Tak boleh. Kamu boleh cabut perkataan 'pariah', kamu boleh cabut perkataan 'huan na', kamu boleh cabut apa-apa pun. Tapi yang ini (ketuanan) kamu tak boleh cabut. Kamu cabut (fikiran ketuanan), langsung tak ada Interlok. Ini permasalahan yang pokok."
Demikianlah pandangan yang diketengahkan oleh pensyarah kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Chong Fah Hing (gambar kiri) ketika mengulas pertikaian penggunaan Interlok sebagai buku teks komponen sastera (KOMSAS) di Zon 2, iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Negeri Sembilan.
Sebelum mengakhiri pembentangannya, Chong Fah Hing menambah, sungguhpun segala kesalahan dan pemalsuan berhubung dengan tanggapan budaya dalam Interlok bisa disemak, disunting dan diubah; namun, persoalan pokoknya, "Apakah gagasan KETUANAN atau fikiran dominasi bangsa itu bisa disemak dan dicabut daripada novel Interlok?"
Kira-kira 80 orang menghadiri "Forum Interlok: Antara Kesusasteraan, Pendidikan dan Hubungan Kaum", anjuran bersama oleh Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG (LLG), Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KLSCAH), National Interlok Action Team (NIAT) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) pada malam 23 Mac 2011.
Selain Chong Fah Hing, ahli panelnya termasuklah Presiden NIAT Thasleem Ibrahim, Pensyarah UM Azmi Sharom, Presiden Kavyan Uthaya Shankar SB, kolumnis MerdekaReview Lee Ban Chen, dengan Ng Yap Hwa, Eksekutif Senior LLG sebagai moderatornya. Bagaimanapun, wakil Seniman Paksi Rakyat dan Budayawan Bertindak tidak hadir sebagai ahli panel, biarpun diundang penganjur.
Novel jenis propaganda
Hampir semua ahli panel dan hadirin bersetuju untuk menghormati Interlok sebagai karya sastera, tetapi menentang penggunaannya sebagai buku teks. Sambil memetik komentar S. Othman Kelantan dan Abdullah Tahir terhadap satu lagi karya Abdullah Hussein berjudul Rantau Selamat, yang berbunyi "tidak salah kalau ada pembaca yang beranggapan bahawa novel ini termasuk dalam novel jenis propaganda...", Chong Fah Hing mempersoalkan sejauh manakah Interlok juga merupakan sebuah novel jenis propaganda?
Chong Fah Hing menyenaraikan beberapa contoh kesalahan dalam Interlok, misalnya "ubi manis dimasak dengan daging babi", "jual anak perempuan" dan sebagainya, yang dari pengetahuan Chong tidak wujud sama sekali; malah Interlok memperkukuhkan imej stereotaip tertentu terhadap kaum-kaum, misalnya mencorakkan perwatakan Cina sebagai kaki judi.
Dalam hal ini, Lee Ban Chen (gambar kiri) turut mengulas dengan terperinci bagaimana perwatakan dalam Interlok direka, diburuk-burukkan tanpa mengambil kira logik jalan ceritanya, misalnya, komunis digambarkan sebagai perogol dalam Interlok.
Penekanan sifat-sifat "keimigranan", prejudis terhadap perjuangan gerakan kiri dan sebagainya dalam Interlok, membuat Chong Fah Hing untuk menyamakannya dengan kandungan buku teks Sejarah sekolah menengah. "Sama dengan apa yang tercatat dalam Sejarah Tingkatan Lima, Tingkatan Empat. Semua yang tidak sealiran dengan fikiran perdana itu disisihkan," kata Chong.
Chong Fah Hing mengulas, "Abdullah Hussein bukan sahaja menulis sebuah novel sejarah yang mengisahkan pembentukan sebuah negara baru melalui pendekatan kesalahan secara sedar (intentional fallacy), malah beliau cuba meyakini pembacanya dengan pelbagai plot cerita yang lunak dan bernada kemanusiaan bahawa formula pembentukan negara bangsa yang dicanangnya itu relevan dengan situasi masyarakat Malaysia pada masa hadapan."
Chong Fah Hing menganggap Interlok sebagai "karya bermasalah", bermaksud pertikaian tentang sikap politik yang sangat jelas condong kepada wacana politik UMNO-BN serta prejudis terhadap ideologi pergerakan kiri yang pernah memainkan peranan penting dalam sejarah kemerdekaan negara.
Apa kena-mengena dengan Ketuanan Melayu?
Sebermulanya perbentangan Chong Fah Hing, beliau telah memetik beberapa kenyataan daripada Memorandum PENA kepada Perdana Menteri. Antaranya, "Implikasinya ialah rasa kecewa dalam kalangan orang Melayu apabila kerajaan dilihat terlalu tunduk kepada ugutan kaum tertentu di samping mengabaikan maruah orang Melayu", "Orang Melayu kini tidak lagi dipandang sebagai bangsa yang berdaulat di negara ini kerana masyarakat India menggunakan helah demokrasi dan kertas undi sebagai tiket untuk menyamatarafkan kedudukan mereka dengan bumiputera", "kami mendesak kerajaan agar bertegas memenuhi permintaan kami (orang Melayu yang merupakan majoriti dan tuan di negara ini)" dan sebagainya.
"Ini bukan nak menyelesaikan masalah tetapi menambah masalah," kata Chong Fah Hing sambil mempersoalkan, apa kaitannya dengan menjaga maruah orang Melayu, jikalau isu ini dilihat dari perspektif kesusasteraan?
Perkauman tidak salah di masyarakat kita
Mungkin ada yang berpendapat bahawa "pandangan perkauman" tidak harus dijadikan alasan untuk menolak sesebuah karya sastera, kerana rakyat Malaysia harus diberi hak untuk memilih sendiri, dalam sesebuah negara yang mendukung kebebasan bersuara.
Bagaimanapun, Azmi Sharom (gambar kanan) memberi jawapannya dalam pembentangannya. Beliau menyatakan pendiriannnya terlebih dahulu, bahawa pembakaran buku bukanlah sesuatu yang harus dilakukan, kerana ia membawa kita ke zaman Nazi, malah memperlihatkan bahawa masyarakat kita seolah-olah tidak mampu berbahas.
Azmi Sharom sempat untuk menyindir kerajaan Barisan Nasional, "Di Malaysia kita sudah ada cukup censorship (penapisan). Kerajaan kita sangat suka mengharamkan bahan-bahan bacaan. Ini adalah satu hobi...", dengan mengambil beberapa contoh buku yang diharamkan seperti The Battle for God oleh Karen Armstrong, Pluralisme dalam Islam suntingan Al-Mustaqeem.
Justeru itu, belian menyambut baik pendirian "bukan untuk mengharamkan buku, tetapi menghalangkannya daripada dijadikan buku di sekolah". Beliau seterusnya mengambil beberapa contoh buku, misalnya Live and Let Die oleh Ian Fleming pada tahun 1954. Selepas seminggu diterbitkan, satu bab berjudul Nigger Heaven dikeluarkan, kerana perkataan "Nigger" dianggap offensive (menyinggung) pada ketika itu (panggilan yang menghina kaum kulit hitam). Bagaimanapun, perkataan ini dimasukkan semula pada tahun 2002.
Selain itu, sebuah buku kartun berjudul Tintin In The Congo tidak diterbitkan untuk banyak tahun, kerana memang berbaur rasisme. Beberapa tahun kebelakangan ini, buku ini diterbitkan semula.
"Kenapa diterbitkan semula? Kerana, masyarakat di mana buku ini ada diterbitkan telah pun menerimanya bahawa 'what was offensive' is offensive," jelas Azmi Sharom. Beliau meneruskan, pemikiran masyarakat itu telah sampai satu tahap di mana mereka membaca buku itu sebagai satu pengajaran, bahawa itu adalah pandangan orang pada 1950-an, dan pandangan ini adalah satu pandangan yang sangat salah.
"Dengan apabila masyarakat itu menerima bahawa perkauman itu sesuatu yang salah, kamu boleh mempunyai buku yang rasisme kerana anda boleh mengenalpasti bahawa ianya adalah salah," sebelum beliau mencetus gelakan dewan, "Masalah di Malaysia adalah, perkauman adalah tidak salah."
Justeru itu, Azmi Sharom mengajak hadirin untuk merenung, apakah Interlok yang memperkukuhkan stereotaip rasisme ini sebuah buku yang sesuai, dalam konteks masyarakat di mana kita masih belum boleh "secara satu negara, secara am menyatakan bahawa rasisme ini adalah sesuatu yang sangat salah"?
"Bila kita mengkaji buku ini, ia tidak boleh hanya dari intelektual, atau dari sudut sastera. Ia perlu mengambil kira konteks yang pelbagai, dengan situasi negara kita yang teruk hari ini. Persoalan saya, adakah ini telah dilakukan? Dan ketakutan saya adalah, tidak, ia belum," kata Azmi Sharom.
Thasleem Ibrahim pula menegaskan Interlok tidak harus sampai ke tangan pelajar sebagai buku teks mengikut perspektif Islam, dan NIAT komited untuk berjuang sehingga buku ini dibatalkan. Uthaya Shankar SB (gambar kanan) yang enggan berucap atas kapasiti anggota panel bebas Interlok, berkata apa pun kritikan yang dilontarkan terhadap buku ini tidak seharusnya disentuh penulisnya, Abdullah Hussein.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan