Loji Lynas: Tiada lesen operasi jika rakyat bantah, jamin MCA
KUALA LUMPUR — MCA memberi jaminan loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng dekat Kuantan oleh syarikat Australia tidak akan menerima lesen operasi jika rakyat tidak bersetuju dengan projek tersebut, yang lojinya sedang didirikan.
Pendirian itu dinyatakan oleh parti komponen Barisan Nasional (BN) itu bagi pihak badan pemberi lesen hari ini ketika tekanan semakin meningkat terhadap usaha mengadakan loji pemprosesan bernilai RM700 juta itu.
Ekoran bantahan pimpinan MCA bahagian tempatan mahu projek itu dikaji semula.
Datuk Seri Liow Tiong Lai (gambar) yang merupakan Pengerusi MCA Pahang, wakil-wakil masyarakat dan perniagaan Cina Pahang mengadakan pertemuan dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Maximum Ongkili mengenai isu Lynas, pemilik loji tersebut dan menyerahkan memorandum mengenai soal keselamatan ke atas orang ramai.
Memorandum diserahkan kepada menteri berkenaan.
Sekitar 40 peratus pengundi di tiga bahagian Parlimen yang berhampiran kawasan perindustrian Gebeng itu adalah masyarakat Cina.“Selain menghantar memorandum, kami juga diberi taklimat dan diberi jaminan bahawa AELB (Lembaga Pelesenan Tenaga Atom) akan memastikan keselamatan rakyat akan diberi keutamaan bagi memastikan loji Lynas selari dengan standard-standard antarabangsa,” katanya.
“Dalam memorandum kami, dalam taklimat, perbincangan dan mesyuarat sebelum itu, kami menekankan bahawa rakyat mahukan perundingan sepenuhnya sebelum lesen diberikan kepada loji (Lynas),” kata Liow.
Kata beliau, syarikat itu memerlukan tiga lesen iaitu masing-masing bagi aspek tanah, bangunan dan operasi dan Lynas sudah pun memperoleh dua yang pertama.
“Kami merasakan penduduk Kuantan ada hak untuk mengetahui tahap keselamatan loji dan pihak berkuasa termasuk AELB memberikan penjelasan penuh,” kata beliau lagi.
“Ini perkara pertama kami tekankan. Kedua, AELB perlu memastikn kesemua aplikasi dan pemberian lesen lebih telus agar NGO-NGO dan orang ramai boleh mendapatkan lebih banyak maklumat,” kata Liow lagi.
Ketiga menurut Liow, mereka berharap AELB dan pihak-pihak relevan akan memberi taklimat dan penjelasan selain mendengar pandangan orang ramai semua lapisan.
Liow berkata AELB akan mengadakan “perundingan semaksimum” yang mungkin untuk penduduk Kuantan dan mereka tidak boleh meluluskan lesen secara unilateral.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan