HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Mac 2011

Azmin sindir polis keluar notis Seksyen 111 ‘lapan bulan’ lebih awal


Azmin
SHAH ALAM — Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menyindir polis mengeluarkan notis “lapan bulan lebih awal” agar hadir di ibu pejabat polis Ampang untuk memberi keterangan berhubung kekecohan pada program parti yang dianjurkan di pusat khidmat masyarakatnya di Gombak, Jumaat lalu.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata selain tidak diberi alasan beliau dipanggil, pihak polis juga seolah-olah mengeluarkan notis secara terburu-buru dengan kesilapan tarikh.

Kata beliau, sedangkan notis itu dipercayai berkaitan dengan insiden Jumaat lalu — yang berakhir dengan kekecohan antara polis dan penyokong Pakatan Rakyat, tetapi tarikh notis bulan tertera “26 November 2011.”

“Notis yang diberikan kepada saya tidak menyebut alasan siasatan dan mereka lakukan ini secara terburu-buru.

“Notis di bawah Seksyen 111 telah digunakan terhadap saya lewat malam tadi yang bertarikh 26 November 2011, ini bermakna polis terlalu cekap yang mana mereka sediakan notis lapan bulan lebih awal,” kata Azmin.

Beliau mengaitkan kedua-dua kes liwat membabitkan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mana prosedur yang dibuat tidak mengikut kronologi membuktikan tuduhan tersebut telah dirancang.

“Saya telah dimaklumkan terdapat tiga buah kereta, satu kereta peronda dan dua kereta persendirian datang ke rumah saya untuk memberikan notis kepada saya tapi selepas itu mereka tetap menunggu di hadapan rumah saya dan sekali lagi saya merasakan ini adalah satu bentuk gangguan dan ugutan terhadap anak dan keluarga saya. Sebaik sahaja menyerahkan notis kenapa anda mesti terus berada di hadapan rumah saya?

“Bila saya pulang kira-kira pukul 1 lebih (pagi tadi) mereka masih lagi berada di sekitar kawasan rumah saya dan untuk apa? Rakan saya dari Batu Caves dan juga Hulu Klang juga menerima notis pada pukul 2.30 pagi. Kenapa tidak serahkan notis itu hari ini atau tengah hari? Kenapa perlu tergesa-gesa?” soalnya.

Ketika polis tiba di pekarangan rumahnya, Azmin berada di Hotel De Palma, Ampang kerana menghadiri mesyuarat PKR selepas makan tengah hari di lokasi sama.

“Saya mempersoalkan cara mereka buat perkara ini; seolah-olah saya seorang penjenayah. Mengapa mereka perlu serahkan notis macam itu yang terdapat unsur gangguan dan ugutan kepada saya dan keluarga. Mereka datang lewat malam tadi. Mereka tidak boleh tunggu sehingga hari ini untuk serahkan notis. Kenapa polis bertindak dengan tidak profesional,” katanya kepada wartawan selepas sesi pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini.

Azmin juga menuntut Kementerian Dalam Negeri bertanggungjawab atas sikap “tidak profesional” polis.

Ketika ditanya sama ada akan mengambil tindakan undang-undang terhadap polis, Azmin berkata peguamnya akan mengkaji perkara itu.

“Peguam saya akan kaji dulu. Satu saya rasa ia menceroboh dan kedua bertindak di luar kuasa kerana tidak mempunyai hak untuk masuk. Ini adalah premis swasta, ia pejabat saya, anda tahu pusat khidmat masyarakat. Mereka tidak sepatutnya datang dan mengganggu program kita,” katanya.

Azmin berkata peguamnya mungkin akan kemukanan notis pertama menjelang petang esok.

Beliau juga menunjukkan kepada pemberita notis yang diterimanya lewat malam tadi yang dikeluarkan lapan bulan awal.

Azmin juga menuntut permohonan maaf daripada Ketua Polis Ampang kerana mengganggu satu program yang dianjurkan di pusat khidmat masyarakatnya Jumaat lalu.

“Perhimpunan yang kita buat secara aman dan dirancang tetapi ia menjadi kelam-kabut apabila polis masuk dan membuat provokasi yang mengganggu ketenteraman program.

“Peguam saya akan menghantar satu notis esok kepada OCPD (Ketua Polis Daerah) Ampang menuntut permohonan maaf dan memohon penjelasan dan jika mereka tidak mahu kita akan ambil tindakan undang-undang kepada polis,” katanya.

Azmin sepatutnya menemui polis hari ini untuk memberikan keterangan berhubung program Pakatan Rakyat yang diadakan pusat khidmat masyarakat Gombak.

Akaun Twitter PKR Wilayah Persekutuan pula menyebut: “@AzminAli diminta lapor diri ke balai polis esok (hari ini); isu ceramah 25/3 tiada permit. Mengikut sumber beliau mungkin akan ditahan.”

Difahamkan Azmin telah bercakap kepada Ketua Polis Ampang dan menetapkan semula pertemuan dengan polis kerana menghadiri perasmian DUN Selangor pagi ini.

Majlis Jumaat lalu anjuran PKR, yang didakwa diadakan tanpa permit polis, berubah menjadi ‘hodoh’ apabila anggota polis cuba menghentikan Anwar daripada meneruskan ucapannya, menyebabkan penyokong beliau marah lalu menyerang pasukan keselamatan.

Ketua Umum PKR itu, yang merupakan pemimpin terakhir berceramah telah menyampaikan ucapannya sekitar 13 minit ketika polis mula campur tangan sedangkan dikatakan telah diberi 15 minit untuk berucap.

Tiada ulasan: