HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Mac 2011

Video seks: Hisham lantik Cecil Abraham saman Anwar

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein melantik peguam Tan Sri Cecil Abraham untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu yang berkaitan dengan rakaman video seks, yang didedahkan “Datuk T” minggu lalu.

The Malaysian Insider difahamkan Hishammuddin (gambar) yang juga naib presiden Umno melantik khidmat peguam dari firma Zul Rafique & Partners itu hari ini – enam hari selepas memberi amaran kepada Anwar.

“Datuk Seri Hisham telah lantik Tan Sri Cecil Abraham untuk mewakili beliau hari ini, untuk failkan kes ke atas Datuk Seri Anwar... bermakna seperti kata Datuk Seri Hishammuddin minggu lepas, beliau mahu mengambil tindakan undang-undang,” kata sumber petang ini.

Bagaimanapun sumber itu tidak menyatakan bila kes saman ke atas Anwar akan difailkan dan butiran tuntutan.

Difahamkan kenyataan rasmi mengenainya akan dikeluarkan sehari dua.

Rabu lalu, Hishammuddin akan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Anwar, yang juga Ketua Pembangkang, jika terus mengaitkan beliau dan polis dalam video seks yang ditayangkan kepada wartawan di hotel Carcosa Seri Negara, Isnin lalu.

Beliau berkata, dakwaan Anwar bahawa polis dan beliau adalah dalang di sebalik penayangan video yang membabitkan seorang pemimpin utama pembangkang tersebut telah menjatuhkan maruah dan nama baik polis.

“Saya sebagai menteri yang bertanggungjawab rasa berhak untuk menjaga maruah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan jika dia (Anwar) terus mengaitkan ini (penayangan video) adalah satu konspirasi, saya akan pertimbang untuk menyaman dia.

“Perkara ini (saman) sedang dikaji peguam saya... ia bukan untuk saya semata-mata tetapi untuk pastikan integriti polis dilindungi. Isu sama ada ia konspirasi atau tidak bukan perkara utama tapi sama ada ia berlaku atau tidak kita akan siasat mengikut peruntukan yang ada,” katanya.

Pada Isnin lalu, Anwar menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Hishammuddin dan polis terbabit dalam pendedahan rakaman video seks kononnya beliau mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita tidak dikenali di sebuah hotel di ibu negara bulan lalu.

Najib dan Hishammuddin kemudian menafikan penglibatan mereka dalam rakaman berkenaan semalam manakala Anwar membuat laporan polis berhubung penyebaran video tersebut pada hari yang sama.

Tiada ulasan: