KUALA LUMPUR — Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, salah seorang “Datuk T” meneruskan serangan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mendakwa Ketua Umum Pakatan Rakyat itu sebagai “pembohong” kerana masih menafikan dakwaan rakaman video seks yang didedahkan minggu lalu.
Bercakap pada satu majlis tertutup anjuran Pertubuhan Alumni Kelab-kelab Umno Luar Negara di sini malam tadi, bekas ketua menteri Melaka itu berkata, walaupun sudah ada bukti namun Anwar tetap menafikan pendedahan tersebut.
“Sudah ada bukti tapi masih kata mirip saya, orang politik ini memang kuat berbohong.
“Sudah jelas dia (Anwar) masih kata mirip saya dan bukan saya,” kata beliau.
Bagaimanapun ketika ditemui selepas itu, Abdul Rahim enggan memberikan sebarang komen berhubung rakaman video seks itu dengan alasan ia sudah menjadi kes polis.
Selain Abdul Rahim, kumpulan Datuk T juga terdiri daripada ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim.
Trio tersebut telah menggemparkan negara awal minggu lalu apabila bertindak menayangkan rakaman video seks itu kepada media di Carcosa Seri Negara.
Rakaman video seks itu didakwa melibatkan seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat yang dikaitkan dengan Anwar dengan pelacur dari China.
“Ia sudah sampai kepada polis, biar polis yang siasat.
“Kita biarkan polis jalankan tugas, saya tidak mahu komen,” kata bekas ketua Pemuda Umno ini, salah seorang pemimpin Umno “Team Wawasan” pada pemilihan parti itu tahun 1993.
Berikutan pendedahan itu, ketiga-tiga individu terbabit telah disoal siasat polis Bukit Aman dan menyerahkan pita video dan seutas jam tangan jenama Omega sebagai bahan bukti.
Polis juga telah menubuhkan pasukan khas menyiasat kes tersebut.
Ketika ditanya mengenai dakwaan bekas pengarah siasatan jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain yang mengatakan beliau kemungkinan tidak akan didakwa dalam kes pendedahan rakaman video seks itu, Abdul Rahim berkata, ia terserah kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk menentukannya.
“Saya tidak tahu, itu adalah kuasa AG (peguam negara),” katanya.
Dalam surat terbuka kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dua hari lalu, Mat Zain berkata, beliau tidak melihat Abdul Rahim akan didakwa memandangkan keputusan itu akan membabitkan Peguam Negara.
Pandangan itu dibuat berdasarkan pada perkembangan tiadanya tindakan Peguam Negara ke atas Abdul Rahim berhubung kes rasuah pada 1999.
“Siasatan ini akan dikendalikan oleh Abdul Gani kemudian selaku Peguam Negara. DI peringkat itu dijangkakan akan ada manipulasi, penyelewengan dan pemalsuan,” kata beliau.
Minggu lalu, Abdul Rahim mendedahkan bahawa beliau bersama Shazryl dan Shuib bertanggungjawab mendedahkan video berkenaan.
Anwar membuat laporan di ibu pejabat polis Dang Wangi berhubung video itu, yang telah dipertontonkan kepada beberapa wakil media.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan