HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Mac 2011

Kezaliman tanda berlaku perubahan politik

Ismail Hashim

SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kezaliman yang sedang melanda negara adalah tanda-tanda awal perubahan politik yang besar akan berlaku tidak lama lagi.

Kerana itu, beliau menyeru rakyat mesti bersatu untuk bangkit untuk buat perubahan setelah semua parti-parti politik dalam PR sudah berpakat dan kini mahu sokongan padu dari rakyat dan yakin rakyat berani untuk membuat perubahan demi kesejahteraan negara.

Menyentuh tentang fitnah jahat, Abdul Hadi menghuraikan isu dengan fakta dan menyeru masyarakat dan rakyat negara ini untuk sama-sama bangun menyokong Pakatan Rakyat yang sudah bersetuju untuk menggantikan BN memerintah negara.

"Dalam hal ini, kezaliman yang dilakukan adalah tanda kerajaan sudah nyanyuk, demi mengekalkan kuasa dengan menang pilihan raya, mereka sanggup melakukan apa sahaja.

"Kerana itu rakyat jangan terlibat dalam kerja ini, pengamal media dan perakam perlu ingat, kerja mereka menulis untuk memfitnah ini adalah dosa yang panjang walaupun mereka sudah meninggal dunia, jangan hanya memikirkan soal wang sahaja.

"Semua tamadun tidak berguna jika keseluruhan sistem dalam sesebuah negara dipenuhi dengan derita kezaliman yang dirasai oleh rakyat, rintihan mereka tidak didengar dan ingatlah, semua kerajaan itu tidak kekal," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Mengenai tindakan menayangkan video seks di hotel, bukan di mahkamah, awal-awal lagi menunjukkan ia bercanggah dengan amalan perundangan antarabangsa.

Beliau berkata, seseorang yang dituduh dianggap tidak bersalah selagi tidak dibuktikan kesalahannya di mahkamah adalah kaedah perundangan Islam turut diiktiraf dunia.

Malah seseorang yang dituduh itu, jelasnya, mestilah melalui proses kehakiman di mahkamah, bukan di dalam media di hadapan wartawan.

Ini, katanya jelas membuktikan wujudnya konspirasi antara mereka terbabit dengan pihak berwajib yang mempertahankan pula tindakan menayangkan itu sebagai tidak bersalah.

Abdul Hadi berkata demikian ketika berucap di dalam Majlis Solat Hajat dan Pidato Khas Tangkis Fitnah Jahat BN yang diadakan di Stadium Malawati, dekat sini malam tadi.

Turut berucap dalam majlis dengan kehadiran lebih 15,000 itu adalah Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Dalam majlis yang turut disertai Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said itu, Abdul Hadi turut membacakan sebuah sajak penyair Tunisia, Abdul Qosim Asy-Syafi yang meninggal sekitar 1930 dalam usia 20-an ketika penjajahan Perancis.

Kata penyajak yang berjaya membangkitkan semangat rakyat itu; Apabila sesebuah bangsa itu ingin terus hidup, mereka mesti menyahut dan redho dengan takdir Ilahi yang menentukan siap berkuasa, Malam tidak akan selamanya malam, malam akan pergi dan pagi akan tiba, Gari tidak selamanya kekal mengikat tangan rakyat dan gari akan hancur berkecai...

Anwar pula ketika berucap mewakili keluarga termasuk isterinya selaku Presiden Keadilan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan anaknya, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden Keadilan yang turut hadir, mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kekuatan untuk dirinya menghadapi semua fitnah jahat BN.

Sementara itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz di akhir majlis memimpin majlis dengan memohon doa munajat sekitar lima minit yang sepenuhnya di dalam Bahasa Arab fasih dan menyebutkan nama Anwar di dalam doa itu.

Tiada ulasan: