HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Mac 2011

Leo Moggie nafi sebagai ‘orang tengah’ pakatan sulit Snap-BN

BERNAMA

KUCHING — Bekas presiden Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang dibubarkan, Tan Sri Leo Moggie (gambar), hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya beliau adalah orang di sebalik tabir dalam pakatan sulit antara Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) dan Barisan Nasional (BN).

Bekas Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia itu mengulangi bahawa beliau tidak terbabit dalam sebarang aktiviti politik sejak berundur dari bidang politik pada 2004.

“Saya keluar sama sekali dari politik sejak beberapa tahun lalu dan tetap bersara dari politik,” katanya kepada pemberita sebelum menghadiri mesyuarat angung tahunan kesembilan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) Sarawak di sini hari ini.

Moggie, yang merupakan ikon politik Dayak, berkata demikian ketika ditanya mengenai pendedahan blog Sarawak Report yang mendakwa beliau adalah individu yang ditugaskan mengatur rancangan sulit antara SNAP dan BN.

Pakatan sulit BN-Snap itu dikatakan kononya untuk menafikan pembangkang pada pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April ini dan memantapkan lagi cengkaman BN di Sarawak selepas pilihan raya itu.

Snap merupakan parti pembangkang di Sarawak.

Ditanya mengenai jangkaan pertandingan beberapa penjuru di kerusi majoriti kaum Dayak pada pilihan raya negeri itu, Moggie, yang juga Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), berkata secara peribadi beliau tidak suka melihat ramai orang Dayak terbabit dalam politik.

“Kadang-kadang, sekiranya kita menghabiskan banyak masa dalam politik, kita mungkin tidak mampu menumpukan kepada perkara-perkara bukan politik,” kata bekas Ahli Parlimen Kanowit selama tujuh penggal dari 1974 hingga 1999 itu.

Moggie berkata rakyat perlu terbabit dalam usaha mencari nafkah dan sebab itu beliau bersara dari politik beberapa tahun lepas.

“Selepas persaraan, saya dapati sebenarnya kehidupan ini adalah lebih daripada politik sahaja,” katanya dengan senyuman.

Pada 24 Jun 2003, Moggie mengumumkan peletakan jawatan presiden PBDS secara mengejut dan tindakan itu telah menyebabkan parti itu berpecah kepada dua pihak sehingga krisis kepimpinan telah menyebabkan parti itu dibatalkan pendaftaran.

Pembubaran PBDS pada 21 Oktober 2004 itu telah melahirkan parti serpihan kaum Dayak yang baru iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang dipimpin oleh oleh bekas Ketua Penerangan PDBS, Datuk Seri Dr James Masing.

Tiada ulasan: