HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Mac 2011

NGO mahu kerajaan atasi masalah DBP

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan mengambil tindakan segera memulih semula peranan dan kedudukan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang didakwa telah menyimpang daripada fungsi asalnya iaitu membina dan mengembangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Mereka yang terdiri daripada 60 NGO bergabung di bawah Gerakan Darurat Bahasa (GDB) juga menuntut kerajaan mengkaji semula kedudukan DBP yang merupakan sebuah institusi penting yang diwujudkan berdasarkan sebuah akta khusus.

Pengerusi GDB Mohd Azmi Abdul Hamid berkata semenjak beberapa perubahan dilakukan dalam DBP, khususnya pengswastaan beberapa bahagian penting, perubahan dalam struktur dan penjawatan serta fungsi telah menyebabkan institusi itu menghadapi masalah.

“DBP telah menswastakan lima bahagian iaitu Bahagian Perniagaan, Bahagian Percetakan, Bahagian Reka Bentuk dan Bahagian Stor secara konsesi kepada sebuah syarikat.”

Sejak penswastaan itu 2002, DBP telah kerugian antara RM20 juta hingga RM40 juta setiap tahun. Sebelum penswastaan ini DBP memperoleh keuntungan sekitar RM20 juta setahun,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen, di sini hari ini.

Katanya, selain itu beberapa rombakan dalam struktur dan pengurusan, kekosongan jawatan yang tidak diisi dan penyusunan semula struktur organisasi yang tidak memenuhi keperluan Akta DBP telah menyebabkan fungsi institusi itu tidak dapat berfungsi sepenuhnya.

Justeru beliau meminta kerajaan segera mencari penyelesaian berhubung masalah tersebut, selain berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan yang secukupnya pada setiap tahun selaras dengan fungsi dan peranannya.

“DBP hendaklah diberikan kuasa undang-undang dalam penguatkuasaan bahasa Melayu sebagaimana yang disarankan oleh banyak pihak sebelum ini,” katanya.

Tiada ulasan: