Sudah banyak kharbar angin diperkatakan tentang kenaikan harga minyak di Malaysia.Ini adalah akibat dari pergolakan politik di negara Timur Tengah seperti Mesir, Tunisia, Bahrain, Maghribi dan Libya.Namun, benarkah pergolakan yang berlaku ini dapat mempengaruhi kenaikan harga minyak di Malaysia?
Dengan harga minyak yang sudah melepasi $ US 100 setong, adakah sebenarnya ianya memberi lebih banyak keuntungan kepada Petronas, atau sebaliknya? Di bawah adalah petikan wawancara bersama Tun Daim Zainuddin, yang bercakap mengenai situasi politik dan ekonomi yang bakal berlaku di negara timur bergolak itu.
TUN DAIM: Saya rasa masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan mengenai situasi di Timur Tengah ini. Bagi negara-negara yang bergolak seperti Tunisia, Mesir, Yemen, Bahrain dan Maghribi, proses perubahan dan peralihan masih berterusan. Tapi setakat yang dapat kita baca sekarang, lanskap politik di sana akan berubah.
Bagaimana bertukarnya tergantung kepada siapa atau pihak mana akhirnya yang akan menguasai kerajaan di negara-negara itu. Apabila semua keadaan di sana tenang semula, saya jangka persoalan negara bebas untuk Palestin akan menjadi agenda utama. Kita harap persoalan itu dapat diselesaikan segera supaya sebuah negara Palestin yang berdaulat dapat dilahirkan.
Dan jika salah satu punca utama keresahan rakyat di Timur Tengah iaitu Palestin jadi reda, potensi negara-negara Teluk dan lingkungan Arab itu, baik dari segi politik ataupun ekonomi, akan lebih terserlah. Soal kebebasan dan hak asasi manusia, saya kira bukan penyebab utama kepada pergolakan di Timur Tengah. Yang lebih penting ialah soal kelembapan ekonomi, peluang pekerjaan dan pembangunan serta kurangnya infrastruktur yang asas dan moden. Revolusi bermula dari Tunisia. Sebelum krisis kewangan, Tunisia tidak menghadapi apa-apa masalah. Rakyat sanggup mengorbankan kebebasan, hak asasi manusia, dan sebagainya. Selagi ekonomi kukuh.
Apabila ekonomi menurun, kebanyakan rakyat kehilangan pekerjaan. Sebelum ini, mereka boleh berlari ke Eropah tetapi sekarang pintu itu sudah tertutup. Mereka harus hidup untuk mengisi perut yang kosong. Tetapi apabila mereka melihat pemimpin, isteri dan keluarga mereka hidup dengan penuh mewahnya dengan mengguna jet persendirian untuk membawa makanan dari Eropah dihidangkan kepada sahabat handai, mereka tidak dapat menerima pembaziran dan juga kemewahan di hadapan mereka.
Pemimpin dan keluarga tidak peduli kesengsaraan disekeliling mereka dan tidak membantu sehingga rakyat membangun memberontak. Sama juga dengan Mesir dan Libya. Negara telah menjadi hak peribadi di mana pertukaran kuasa pemimpin-pemimpin hendak serahkan kepada anak-anak mereka. Kita ingin melihat Timur Tengah bertukar menjadi lebih baik dan pemimpin-pemimpin berkhidmat kepada rakyat dan bukan untuk kepentingan Amerika Syarikat.
Diktator-diktator ini hidup dengan bantuan dari Amerika yang telah memberi rasuah supaya Israel selamat di atas kesengsaraan rakyat Palestin.Tetapi bagi Malaysia, kita kena melihat dari sudut ekonomi. Harga minyak akan naik buat masa terdekat. Inflasi akan berlaku. Kita harus bersiap sedia kerana ini akan melembapkan pertumbuhan ekonomi. Ini lebih mustahak kepada kita. Kerajaan harus merancang supaya rakyat tidak merana.
Adakah ini “hint” kenaikan harga minyak akan berlaku sedikit masa lagi di Malaysia? Ada banyak pendapat mengenai kelebihan dan kekurangan yang berlaku jika minyak dinaikkan lagi harganya. Apa pendapat anda pula sekiranya berlaku lagi kenaikan harga minyak dalam masa terdekat ini?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan