HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Mac 2011

Semakan audit kos selenggara kenderaan Yayasan Selangor siap Mei

BERNAMA

SHAH ALAM — Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata laporan audit yang menyebut bahawa kos penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan Yayasan Selangor berjumlah RM6 juta pada tahun lepas adalah tidak tepat.

Beliau berkata ini kerana semakan audit ke atas akaun yayasan bagi tahun lepas sedang dijalankan dan dijangka siap Mei ataupun Jun ini.

“Buat masa ini, audit Yayasan Selangor bagi tahun 2010 sedang dibuat oleh pihak audit dari luar.

“Jika selesai nanti, kita akan lihat dan banding laporan audit yang dijalankan oleh pengaudit luar dan audit kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Konvokesyen Kolej Antarabangsa Inpens di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan Umno Selangor Abdul Shukor Idrus mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia agar menjalankan siasatan terhadap perbelanjaan penyelenggaraan itu yang dikatakan sebanyak RM6 juta sepanjang 11 bulan pertama tahun lepas.

Abdul Shukor berkata berdasarkan Laporan Bahagian Audit Dalaman Pejabat SUK terhadap yayasan itu mendapati, sepanjang Januari hingga November 2010 sebanyak RM6,029,790 telah dibelanjakan oleh yayasan untuk tujuan itu.

Beliau berkata jumlah itu adalah keterlaluan dan tidak munasabah kerana ia tidak melibatkan pembelian kenderaan baru.

Abdul Khalid berkata audit operasi merupakan perkara yang amat penting berbanding audit kewangan dan ia tidak dinyatakan dalam laporan audit yang disediakan oleh kerajaan negeri itu.

“Kalau kos RM6 juta (penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan Yayasan Selangor), ia merupakan audit operasi. Jadi, laporan audit itu harus nyatakan berapa jumlah kenderaan yang dimiliki, berapakah peruntukan diberikan untuk tujuan itu dalam tahun berkenaan.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung himpunan Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) hari ini yang mendesak kerajaan negeri memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi negeri, Abdul Khalid berkata perkara itu tidak akan berlaku.

Katanya, pihaknya tidak akan melayani desakan tersebut dan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak matang.

Perhimpunan yang diadakan kira-kira 12.15 tengah hari itu turut disertai kira-kira 50 orang melibatkan anggota GAPS serta wakil daripada 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini antaranya seperti Majlis Belia Selangor, Waris Malaya, Ikatan Dakwah Selangor dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor.

Tiada ulasan: