HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Mac 2011

Dua pelajar UM digantung teruskan pengajian, tunggu keputusan rasmi VC

TERKINI

KUALA LUMPUR — Dua penuntut Universiti Malaya (UM) termasuk seorang pemimpin pelajar, yang digantung selama satu semester minggu lalu berhubung dakwaan memalsukan sijil sakit, masih meneruskan pengajian sementara keputusan rasmi dibuat dalam waktu terdekat.

Salah seorang penuntut terbabit, Tan Tiong Yih, 20, berkata Naib Canselor UM Professor Dr Ghauth Jasmon telah memberikan persetujuan agar dia dan rakannya meneruskan pengajian sehingga satu keputusan rasmi dibuat kelak.

Kata Tan, keputusan itu akan dibuat selepas Dr Ghauth pulang ke tanah air dan akan meneliti semula tuduhan yang dikenakan ke atas mereka berdua — didakwa melakukannya ketika pemilihan kampus pusat pengajian tinggi itu bulan lalu.

“Saya telah berjumpa dengan VC (Dr Ghauth) dan beliau bersetuju untuk saya dan rakan ya pergi ke kelas seperti biasa,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Beliau juga beritahu akan menyiasat perkara itu terlebih dahulu sebab beliau tidak pasti sebab sebenar saya dan rakan saya digantung.”
Tambah Tan, walaupun telah diberitahu secara lisan tentang penggantungan itu tetapi sehingga kini masih belum menerima sebarang surat rasmi tentang keputusan pengurusan UM yang dibuat minggu lalu.

“Kami telah pun kemukakan rayuan, dan kami masih menunggu keputusan rasmi daripada pengurusan UM,” katanya.

Minggu lalu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UM Prof Dr Rohana Yusof mengesahkan dua penuntut pusat pengajian tinggi digantung pengajian selama satu semester atas kesalahan tersebut.

Jelas beliau, salah seorang penuntut tersebut telah ke klinik swasta untuk mendapatkan sijil sakit tetapi pada 15 Februari iaitu tiga hari selepas kursus penerangan itu diadakan.

Kata Rohana, bagi penuntut yang memenangi kerusi umum Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UM selain digantung satu semester dia juga digugurkan daripada menganggotai badan tersebut.
MPPUM adalah antara pemilihan kampus dikuasai oleh kumpulan pelajar Pro Mahasiswa pada pilihan raya kali ini.

Bagaimanapun MPPUM mendesak pengurusan UM agar menarik balik keputusan tersebut dengan alasan kedua-dua penuntut itu tidak mendapat keadilan.

Kedua-dua pelajar terbabit adalah penuntut tahun kedua dengan masing-masing menuntut di Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Sastera

Tiada ulasan: