HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Mac 2011

Pakatan: ‘Nampaknya Tun Daim tidak realistik dunia politik semasa’



KUALA LUMPUR— Tun Daim Zainuddin yang mendakwa Pakatan Rakyat (PR), yang kini mentadbir empat negeri “hanyalah satu konspirasi politik” menunjukkan bekas menteri kewangan dan bendahari agung Umno itu tidak berada dalam realiti politik sebenar, kata pemimpin-pemimpin perikatan tersebut.

“Tun Daim tidak realisitik dan kenyataannya juga menunjukkan beliau tidak relevan dengan perkembangan politik semasa,” kata Naib Pengerusi DAP M Kulasegaran.

“Apa yang beliau (Tun Daim) katakan tidak berasas sama sekali jika mengambil realiti politik semasa,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat ini ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Sehubungan itu kata beliau, kenyataan Daim juga menunjukkan ia hanya bersifat “satu tohmahan” ke atas PR.

Kata beliau, pencapaian kerjasama ketiga-tiga parti itu sepanjang tiga tahun lalu membuktikan bahawa gandingan DAP-PAS-PKR bukan satu konsiprasi politik.

PR akan menghadapi pilihan raya negeri Sarawak bulan depan dengan gandingan satu lagi parti iaitu Snap.

“Tidak siapa terfikir bahawa ketiga-tiga parti ini boleh membentuk kerjasama dan mencapai kejayaan dalam pilihanan raya umum lalu... beliau (Tun Daim) perlu realistik, perlu menerima perubahan-perubahan berlaku dalam dunia politik semasa,” katanya lagi.

Katanya, parti-parti komponen PR sudah membuktikan mampu membuat keputusan berdasarkan prinsip kata sepakat dalam apa jua isu berbanding dalam Barisan Nasional (BN) yang didominasi oleh Umno sebagai parti teras.

“Isu berkaitan novel kontroversial Interlok adalah salah satu contoh bagaimana komponen Pakatan mencapai kata sepakat,” katanya.

Kula Segaran juga bertanya jika PR disifatkan sebagai konspirasi politik “mengapa kerajaan BN tidak sanggup meluluskan permohonan mendaftarkan PR walaupun sudah lebih setahun telah dikemukakan” kepada Pendaftar Pertubuhan.

PR dibentuk menerusi kerjasama politik tiga parti iaitu PAS, PKR dan DAP tiga tahun lalu ketika pilihan raya umum ke-12.

Selain mentadbir kerajaan negeri gandingan itu juga menafikan kedudukan majoriti tradisi BN di Parlimen pada pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Daim berkata, beliau melihat PR tidak akan dapat mencapai kata sepakat dalam hal penting mengenai kebaikan negara kerana masing-masing parti taksub kepada pendirian dan prinsip sendiri.

“DAP itu parti chauvinis kecinaan, PAS pula perguna Islam, bukan sebagai ad-Din tapi sebagai topeng politik untuk mengabui mata orang-orang Melayu di kampung.

“PKR hidup kerana Anwar dan untuk Anwar. Tanya kawan Anwar, mereka kata Anwar pakai macam-macam topeng sejak masih di universiti,” kata Daim dalam wawancara dengan akhbar arus perdana.

Anak kelahiran Kedah ini dilantik sebagai menteri kewangan pada 14 Julai 1984 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan melepaskan jawatan itu pada Mac 1991.

Kemudian pada Januari 1999, Daim dilantik semula ke jawatan itu beberapa bulan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat.

Walaupun melepaskan jawatan itu pada 1991 beliau kekal individu berpengaruh dalam kerajaan dan Umno dengan dilantik sebagai penasihat kerajaan dan bendahari Umno.

Dr Mahathir melantik Anwar menjadi menteri kewangan selepas Daim melepaskan jawatan itu pada 1991.

Sehubungan itu, Daim juga mendakwa, bukan saja PR tidak mempunyai asas politik yang kukuh, dalam parti pun PKR terus bergelumang masalah.

Seterusnya beliau bertanya bolehkah PKR menjadi teras kepada kumpulan ini dan bolehkah pakatan begini meyakinkan rakyat yang ia boleh menjamin masa depan bangsa dan negara lebih baik daripada Umno dan BN yang sudah membina negara seadanya selama lebih 50 tahun.

“Dalam setiap demokrasi berparlimen, perlu ada parti pembangkang. Jadi dari segi relevansi, ya, pembangkang itu relevan setiap masa.

“Bukan pembangkang yang bangkang-bangkangan semata, yang menolak semua usaha kerajaan walaupun usaha itu jelas memberi faedah kepada rakyat.

“Pembangkang yang relevan ialah yang menjadi ‘check and balance’ kepada kerajaan, yang tidak ‘chauvinistic’ dan tidak berpandangan sempit, yang boleh menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar juga menolak pandangan Daim dengan menegaskan, pemimpin veteran juga sudah “lupa” akan perkembangan politik semasa.

“Seperti kata (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad), (nampaknya) Tun Daim juga (antara) mereka yang muda lupa,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini.

“Saya kata, saya ingat Tun Daim ini pelupa, mungkin hilang ingatan macam kata Dr Mahathir,” kata beliau lagi sambil menambah, elemen konspirasi adalah sebahagian daripada proses politik.

“Bila menjadi parti politik, mesti ada konspirasi politik untuk mengalahkan pihak lain. Ini lumrah politik,” tambah beliau yang turut menekankan bahawa Umno-BN pula ada konsiprasi tetapi bersifat kotor dan jahat.

“Tetapi konspirasi Pakatan ialah mahu membawa perubahan, konspirasi politik positif, mahu menggantikan BN... itu konspirasi kami,” kata Mahfuz yang menekankan bahawa beliau melihat konspirasi dari sudut positif dan negatif.

Katanya, BN juga ada konspirasi tetapi yang bersifat “jahat” mahu menghancurkan kerjasama PR.

“Konspirasi Pakatan bukan bersifat jahat, tetapi pakatan untuk berkongsi untuk membawa perubahan, untuk menggerakkan rakyat untuk membawa perubahan... hanya rakyat yang bergerak boleh membawa perubahan,” katanya.

Mahfuz menambah, Umno-BN selama ini menganggap bahawa hanya mereka yang boleh membawa perubahan kepada rakyat dan negara, tetapi telah lupa bahawa di kebanyakan negara termasuk di Amerika Syarikat, negara masing-masing terus mengalami kemajuan walaupun pemimpin dan parti politik bertukar tangan.

“Kita lihat perkembangan di Amerika, Mesir dan Jepun... jadi untuk mengatakan bahawa Pakatan ini konspirasi politik dan tidak layak mentadbir, saya fikir satu pandangan yang tidak relevan dengan perkembangan semasa,” katanya lagi.

Tiada ulasan: