HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Mac 2011

Ramon : Bank Negara usah keterlaluan dalam unjuran ekonomi negara

SELANGOR KINI

SHAH ALAM – Seorang tokoh perniagaan hari ini menggesa Bank Negara supaya tidak keterlaluan dalam membuat unjuran pertumbuhan ekonomi negara yang tinggi, tanpa mengambil kira impak inflasi, rasuah, ketegangan kaum dan faktor- faktor berkaitan.

Peringatan itu diberikan oleh Ramon Navarantham, Pengarah Institute Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) dan bekas ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara.

Beliau mempertikaikan unjuran pertumbuhan ekonomi enam peratus untuk 2011 oleh Bank Negara dan menyifatkannya sebagai “terlalu optimistik.”

“Berasaskan hakikat Malaysia adalah ekonomi terbuka dan terdedah kepada kesan ekonomi global ,kita harus lebih berhati- hati dan tidak leka dalam membuat unjuran,” kata beliau dalam sepucuk surat yang disiarkan oleh akhbar The Star.

Ramon berkata unjuran bahawa pelaburan swasta akan meningkat 9.7 peratus tahun ini tidak mempunyai asas kukuh.

“Adakah program- program kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) memang sudah memberi kesan kepada ekonomi negara,” tanya beliau.

Ramon juga mempersoalkan bagaimana Bank Negara boleh mengunjur penggunaan persendirian (private consumption) berkembang sehingga 6.9 peratus.

“Macam mana kita boleh membuat unjuran ini kerana kadar inflasi diunjur lebih tinggi iaitu antara 2.5 peratus hingga 3.5 peratus tahun ini,’ kata beliau.

Ramon menjelaskan kadar inflasi yang dicanang oleh kerajaan menimbulkan kesangsian dan kecurigaan dikalangan pihak tertentu.

“Keadaan adalah lebih buruk sekarang kerana pengguna amat merasakan impak harga barangan, namun ada pegawai kanan yang tidak peka kepada masalah ini,” kata beliau.

Ramon berkata unjuran bahawa pasaran kerja juga akan bertambah baik membelakangkan masalah gaji rendah, kualiti graduan yang masih rendah dan pengaliran keluar belia menerokai peluang pekerjaan di luar negara.

“Tahap rasuah yang tinggi juga tidak menyokong pertumbuhan ekonomi mahupun peluang pekerjaan, tegas beliau.

“Kita harus lebih peka kepada keseluruhan persekitaran sosio- ekonomi dan bukan hanya bertumpu kepada faktor ekonomi. Faktor sosio- ekonomi mempunyai pengaruh yang kuat dalam pencapaian matlamat- matlamat yang ditetapkan,” kata beliau.

Ramon juga berkata isu- isu seperti toleransi agama, ketegangan kaum, ketidakadilan dalam sistem perundangan, kadar jenayah tinggi dan politik yang melampau memberi kesan kepada pelaburan dan eksport negara.

“Justeru saya menggesa supaya (Bank Negara) lebih berwaspada. Saya juga menekankan keperluan untuk mengatasi masalah- masalah asas yang saya sebutkan yang boleh menjejaskan kepercayaan terhadap unjuran-unjuran yang optimistik,’ kata beliau.

Tiada ulasan: