HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Mac 2011

SPRM tak perlu keluar waran ketika ambil dokumen di SUK

BERNAMA

KUALA LUMPUR– Suruhanjaya Siasatan untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini diberitahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu mengeluarkan waran ketika mengambil beberapa dokumen termasuk komputer dan komputer riba di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada 15 Julai 2009.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Mohd Shukri Abdull berkata tiada keperluan untuk menyediakan waran ketika mengambil barang-barang berkenaan daripada Teoh di pejabat itu.

Mohd Shukri menjelaskan kebiasaannya SPRM tidak mengeluarkan sebarang waran untuk mendapatkan dokumen atau bahan-bahan bukti terutama di pejabat-pejabat kerajaan kerana tindakan itu nampak tidak berhemah.

“Sekiranya waran dikeluarkan terhadap pejabat kerajaan, tindakan itu Nampak agak kasar dan kebiasaannya pihak SPRM akan membuat surat untuk mengambil dokumen dan barang bukti yang ada di pejabat itu sekiranya diminta,” katanya ketika disoal pengerusi suruhanjaya Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Jame Foong Cheng Yuen.

Bagaimanapun, tindakan SPRM mengambil barang-barang berkenaan tanpa waran mematuhi prosedur dan amalan di bawah Seksyen 31 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM).

Mohd Shukri, yang juga saksi ke-25 suruhanjaya itu berkata sekiranya seseorang saksi itu enggan untuk menyerahkan dokumen kepada SPRM, ia akan dianggap pelanggaran mengikut Seksyen 48 (C) dan Seksyen 30 (10) (ASPRM 2009).

Ketika disoal bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman bagaimana beliau (Mohd Shukri) mempunyai pengetahuan mengenai kes membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan, Mohd Shukri berkata: “Saya dimaklumkan oleh SPRM siasatan telah dijalankan ke atas kawasan Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berhubung penyalahgunaan wang peruntukan di kawasan itu”.

“Dalam kes membabitkan Ean, saksi yang terlibat adalah Teoh,” kata Mohd Shukri yang bertugas di SPRM sejak 1 September 1984, dahulunya dikenali sebagai Badan Pencegahan Rasuah.

Sementara itu, Foong memberitahu pada prosiding hari ini, suruhanjaya akan memberikan masa selama seminggu kepada Mohd Shukri untuk menyediakan jawapan kepada beberapa soalan yang telah dikemukakan terhadapnya.

“Suruhanjaya akan memberi kepada kamu proses rakaman prosiding ini untuk kamu meneliti semula kesemua soalan-soalan untuk kamu menyediakan jawapan bagi memudahkan prosiding suruhanjaya,” katanya.

Foong berkata antara jawapan yang diperlukan termasuk Perintah Tetap yang diguna pakai oleh SPRM, kaedah yang digunakan untuk menemu bual atau menyoal siasat saksi dan latihan yang diberikan kepada pegawai-pegawai SPRM untuk penyiasatan.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh, serta Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Tiada ulasan: