HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Mac 2011

Bapak kemuka memo tuntut Felcra selesaikan masalah

Antaranya, peserta mengemukakan tuntutan geran hak milik tanah, pemberian saham, kos tanam semula dan hak generasi kedua.



KUALA LUMPUR: Bosan dengan pelbagai masalah yang dialami sejak menjadi peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), 30 penduduk Felcra sekitar Perak hari ini menyerahkan memorandum tuntutan kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Peserta Felcra Nasaruddin di Bota, Changkat Lada di Pasar Salak, dan Felcra Seberang Perak antaranya mengemukakan tuntutan geran hak milik tanah, pemberian saham, kos tanam semula dan hak generasi kedua.

Peserta terbabit melalui Badan Bertindak Felcra Kebangsaan (Bapak) yang diketuai Mazlan Aliman menyerahkan memorandum tersebut kepada Timbalan Menteri Datuk Hasan Malik di Parlimen di sini hari ini.

Dalam masa yang sama, memorandum tersebut turut diserahkan kepada PAS yang diwakilkan melalui Naib Presidennya Dato’ Mahfuz Omar.

“Pada 31 Julai lalu, satu himpunan warga Felcra peringkat kebangsaan telah diadakan dan dari program ini kami menjumpai pelbagai masalah dan sebahagiannya telah diserahkan kepada pengurusan Felcra.

“Malangnya sehingga sekarang peserta masih belum temui sebarang penyelesaian,” kata Mazlan kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Penyata yang keliru

Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, isu yang paling ketara adalah kebanyakan peserta menjadi keliru dengan penyata yang dikeluarkan Felcra apabila kos pengurusan Felcra lebih tinggi daripada diusahakan secara individu.

“Ada juga peserta yang tidak mendapat geran pemilikan tanah walaupun sudah mendiami di kawasan Felcra sejak 30 tahun lalu,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya memberikan tempoh kepada Kementerian Luar Bandar menyelesaikan masalah yang dibangkitkan dalam masa dua bulan selepas tarikh memorandum itu diserahkan.

Mazlan berkata pihaknya akan turut mengemukakan salinan memorandum yang sama kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan mengadakan perbincangan mengenai kemelut yang dibebani peserta dengan pegawai pesuruhjaya Suhakam petang ini.

“Kita mahu dapatkan pandangan Suhakam tentang tindakan yang boleh diambil peserta Felcra bagi menuntut jalan penyelesaian,” katanya.

Tiada ulasan: