HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 April 2011

Isu nasi lemak untuk lindungi wabak negara

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: PAS sangat prihatin terhadap isu yang berlaku menyentuh aspek pendidikan dan pembangunan sumber manusia di negara ini termasuklah aspek pemakanan di sekolah.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik (gambar) berkata, PAS tidak mahu isu pemakanan menenggelamkan isu besar seperti isu akhlak di kalangan pelajar dan belia, isu PPSMI, isu diskriminasi politik termasuk ke atas guru, rasuah, jenayah, kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barang, penyalahgunaan kuasa dan lain-lain yang belum diselesaikan.

“Apakah isu pemakanan ini serius atau hanya untuk menabiri dan melindungi isu-isu besar yang sedang mewabak dalam negara?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau merujuk kepada keputusan Kerajaan untuk menyekat penjualan nasi lemak di sekolah seperti yang disiarkan oleh akhbar-akhbar harian bersama dengan sejumlah senarai makanan dan minuman yang lain.

Menurutnya, isu pemakanan untuk pelajar-pelajar bukanlah isu yang sangat besar berbanding dengan isu akhlak dan gejala sosial yang menjadi wabak di kalangan pelajar dan belia dalam negara hari ini.

Beliau menambah, sesuatu isu sepatutnya diselesaikan secara berstrategik dalam erti kata ianya hendaklah mengambil kira kemampuan anggota masyarakat untuk mengikuti aturan dan peraturan yang hendak dikenakan.

“Apakah isu sebenar di kalangan pelajar dewasa ini?” tanya beliau lagi.

Menurutnya lagi, diandaikan isu pemakanan merupakan isu besar, maka ia mestilah dikaji secara teliti di mana spek-aspek kebudayaan dan cara hidup khususnya yang membabitkan aspek pemakanan dalam masyarakat.

Katanya, budaya pemakanan ini tidak boleh ditukar secara drastik dengan suatu penguatkuasaan undang-undang kerana aspek perundangan tidak boleh mengatasi aspek kemanusiaan.

Beliau berkata, menukar menu makanan di sekolah secara drastik membabitkan makanan tradisi seperti nasi lemak walaupun nampaknya mudah tetapi akan menekan kehidupan dan kebiasaan yang belum tentu mendatangkan mudarat, sedangkan memaksa mereka meninggalkannya lebih menyusahkan dan membebankan banyak pihak kerana makanan itu adalah mengenyangkan dan mudah serta menjadi adat dan kebiasaan yang sudah bersebati dalam kehidupan masyarakat.

“Mana satu yang lebih mudarat membiarkan menu nasi lemak seperti biasa ataupun membebankan masyarakat dengan peraturan-peraturan yang baru?

“Apa bezanya nasi lemak dengan nasi minyak, mee kuning, nasi goreng, nasi dagang, roti canai dan seumpamanya?” soalnya lagi.

Oleh kerana itu, ujarnya maka pendidikan kepada anggota masyarakat untuk mengamalkan budaya baru yang difikirkan baik adalah lebih penting daripada memaksa meraka meninggalkan kebiasaan yang tidak terbukti kemudaratannya.

Dalam isu ini, katanya aspek-aspek kemampuan ibu bapa dalam semua lapisan masyarakat di bandar dan luar bandar, kamampuan pengusaha-pengusaha kantin dan asrama dan kemampuan sekolah untuk melaksanakan peraturan dan kemampuan pelajar untuk mematuhi adalah isu besar yang memerlukan masa dan proses mendidik untuk memampukan mereka mematuhi peraturan-peraturan yang hendak dijalankan.

Sebagai perbandingan, katanya lagi isu pelajar-pelajar merokok, walaupun ia tidak dibenarkan dan diharamkan, namun peraturan-peraturan yang ada tidak dapat menyekat mereka daripada merokok bahkan masalah menjadi bertambah besar kerana makin ramai pelajar yang merokok.

Beliau berkata isu gengsterisme, pencabulan, pemakaian yang tidak menutupi aurat dan terlalu ketat pergaulan bebas, seks rambang, dadah, arak, ponteng sekolah, rempit, mencuri, ragut, vandalisme tidak menghormati guru dan menderhakai ibu bapa adalah isu-isu yang sangat menyayat hati dan mesti ditangani segera.

Pada hari ini, ujarnya terlalu banyak isu yang sedang berlaku menyentuh bidang pendidikan dan pembangunan sumber manusia di negara ini yang kalau tidak ditangani akan memberi kesan buruk kepada masa depan negara dan rakyat.

“Apabila pihak Kerajaan mahu memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) adakah ia bermakna isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPMSI) telah pun diselesaikan sesuai dengan tuntutan Perlembagaan Negara dan kepentingan nasional serta menjamin hak umat Islam di negara ini?” soalnya.

Tiada ulasan: