HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 April 2011

Pastikan rakyat kita di Syria selamat

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat (LA DPPP) menggesa Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Syria untuk memindah atau membawa pulang pelajar dan rakyat Malaysia di sana.

Pengerusinya, Dr Raja Ahmad al-Hiss berkata, keadaan yang semakin meruncing dan tidak menentu di Damsyik sekarang di atas bantahan dan tunjuk perasaan rakyat Syria yang menggesa Presiden Bashir Asad untuk berundur semakin tinggi.

Menurutnya, laporan rasmi ketika ini seramai 450 rakyat telah menjadi korban pro-demokrasi yang bermula sejak 6 minggu lalu, namun laporan tidak rasmi memberitakan sudah hampir mencecah 1,000 orang.

“LA DPPP khuatir dengan tindakan dan tindak balas kerajaan Syria melalui tentera dan polis terhadap penunjuk perasaan dan rakyatnya akan membahayakan rakyat Malaysia di sana yang terdiri daripada penuntut-penuntut di pusat pengajian tinggi dan professional yang bekerja di sana,” katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, kejadian tembak-menembak yang dilepaskan secara rambang oleh tentera untuk menyuraikan protes rakyat boleh membahayakan umum.

Beliau menambah, dengan komunikasi di kawasan-kawasan utama di Syria telah disekat oleh pihak berkuasa dari dunia luar juga merisaukan rakyat Malaysia terhadap nasib dan keselamat keluarga serta anak-anak mereka yang sedang berada di Syria.

LA DPPP, ujarnya menggesakan Kerajaan Malaysia mengambil langkah pro-aktif dengan memindahkan warga Malaysia ke kawasan yang agak selamat seperti Jordan atau terus membawa mereka pulang sekiranya kerajaan Malaysia tidak boleh menjamin keselamatan mereka.

Menurutnya lagi, suasana di Syria dilihat lebih terancam berbanding Mesir kerana pihak berkuasanya dilihat mengambil langkah balas dengan cara kekerasan sehinggakan mana-mana tentera yang enggan melepaskan tembakan kepada penunjuk perasaan akan diambil tindakan keras.

Katanya, sumber memberitahu ramai tentera dan polis yang bersimpati dengan penunjuk perasaan juga tidak terkecuali menjadi mangsa tembakan rambang tentera.

Pihaknya juga menyeru Menteri Luar, Datuk Anifah Aman agar segera mengeluarkan kenyataan jaminan kerajaan Malaysia terhadapa keselamatan pelajar dan rakyat Malaysia di Syria dengan kadar segera.

Malaysia juga melalui Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) di lihat telah gagal dalam menangani kemelut di Timur Tengah yang semakin meruncing hari ini.

LA DPPP juga, katanya menggesa satu sidang tergempar OIC perlu diadakan segera untuk membincangkan kemelut di negara-negara umat Islam ini bagi menyekat pihak tertentu terutamanya Amerika yang dilihat sudah mula mengambil kesempatan untuk campur tangan.

Tiada ulasan: