HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 April 2011

Exco S'gor Kesal Kerajaan Pusat Tidak Ambil Iktibar Tragedi Chernobyl

TVS NEWS



SHAH ALAM: Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor, Elizabeth Wong menyelar keputusan kerajaan membina dua loji nuklear tanpa mengambil iktibar daripada beberapa negara yang mengalami malapetaka akibat teknologi itu.

Elizabeth berkata demikian, mengulas keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meneruskan rancangan itu di bawah Program Transformasi ekonomi yang memperuntukkan RM21.3 bilion sehingga tahun 2020 bagi tujuan itu.

“Mereka tidak memberitahu kita kos sebenar dan sejauh mana ia selamat dengan semua sisa nuklear daripada loji yang dihasilkan. Najib memberitahu sisa itu boleh disimpan.

“Tenaga nuklear datang dengan kos besar dan gangguan kepada kesihatan kita. Jika insiden berlaku akibat kelalaian manusia, kelemahan pembinaan, atau bencana alam, kos akan jauh lebih tinggi.

Elizabeth melalui kenyataan medianya mempersoalkan mengapa Malaysia sanggup mengambil risiko walaupun ada tenaga alternatif lain yang murah dan selamat untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, Menteri kesihatan di Kyiz mendedahkan lebih 2.32 juta rakyatnya, termasuk 452,000 kanak-kanak menderita akibat tragedi Chernobyl, 27,000 menghidap kanser manakala 53,000 lagi terdedah kepada risiko itu.

“Bencana nuklear seperti Chernobyl meninggalkan radiasi pencemaran beribu tahun. Dalam beberapa kes contohnya di Fukushima, Jepun berjanji memperuntukkan $ 780.000.000 (RM2.3 bilion) untuk menampung bagi menggantikan kehancuran yang berlaku,” ujarnya.

Manakala kerajaan Belarus dan Ukraine membelanjakan 5 peratus daripada belanjawan mereka untuk merawat mangsa tragedi.

Selain itu, beliau turut menyarankan supaya kerajaan memilih tenaga daripada teknologi solar yang lebih kompetitif dan murah.

“Dengan dua loji nuklear yang dirancang pada 2021, kos tenaga suria ini diharapkan sangat kompetitif. Akta Tanaga diperbaharui 2011 membolehkan tenaga suria diperolehi dengan kos murah dalam jangka panjang.

“Pada tahun 2011, Malaysia menduduki tempat ketiga pengeluar sel suria dunia. Kita bukan antara 50 negara paling pakar dari segi tenaga nuklear. Malaysia dikurniakan dengan sumber alam lain yang boleh diperbaharui seperti mikro-hydro dan biojisim,” tegasnya.

Sementara itu, Elizabeth mempersoal tahap keselamatan dan sejauh mana teknologi di Malaysia mampu untuk menjalankan loji nuklear.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa supaya kerajaan mengutamakan masa depan dan alam sekitar daripada membina loji teknologi yang memberikan kesan kepada rakyat.

“Kerajaan yang bertanggungjawab harus mengurangkan masalah rakyat, bukan menambahkannya lagi. Malaysia tidak perlu tenaga nuklear kerana setiap ringgit untuk teknologi itu mesti disalurkan kepada tenaga hijau yang benar-benar sihat dan bersih.

“Jangan sia-siakan masa depan kita dan anak-anak di masa hadapan. Kita tidak boleh membiarkan Malaysia menyertai Chernobyl dan Fukushima dalam bencana nuklear,” tegas beliau.

Tiada ulasan: