HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 April 2011

Kerugian RM9 Bilion Setahun Akibat Kemalangan Jalan Raya

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kemalangan jalan raya di seluruh negara setiap tahun mengakibatkan kerugian RM9 bilion, yang meliputi kos perubatan, bayaran insurans, baik pulih kenderaan dan kerugian pengeluaran, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau berkata kira-kira 6,800 nyawa melayang di jalan raya setiap tahun, dengan 65 peratus kemalangan jalan raya berpunca akibat memandu melebihi had kelajuan ditetapkan.

Pelbagai kempen diadakan kerajaan bagi mengurangkan jumlah kemalangan maut seterusnya mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung akibat kemalangan jalan raya, katanya.

Antara langkah yang dilaksanakan termasuk penggunaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang mampu mengesan kecuaian dan kesalahan pesalah trafik sehingga 95 peratus.

"Kini pesalah trafik yang dikesan dan ditangkap pihak berkuasa pada hari biasa ialah antara 20 hingga 25 peratus dan 50 peratus dalam musim perayaan. "Tetapi dengan penggunaan AES, pengesanan dapat ditingkatkan ke tahap 95 peratus," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Keselamatan Petugas dan Kontraktor Exxon Mobil di sini, Selasa.

Abdul Rahim berkata sistem AES sudah digunakan di kebanyakan negara luar menggunakan kamera litar tertutup dikawal oleh robot yang boleh mengesan pesalah trafik serta melampirkan gambar sebagai bukti kesalahan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengemas kini alamat kediaman mereka untuk memudahkan proses menghantar saman dan mengelakkan nama daripada disenaraihitamkan, jika dikesan melakukan kesalahan trafik melalui sistem AES.

"Notis kompaun akan dihantar ke alamat terakhir. Jika alamat terakhir tidak dikemas kini anda mungkin tidak dapat memberi maklum balas terhadap notis yang diberikan. Mereka yang tidak memberikan maklum balas melakukan kesalahan mengikut Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan," katanya.

Terdahulu, Abdul Rahim yang mewakili Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha menyampaikan anugerah kepada petugas syarikat Exxon Mobil yang berjaya menjalankan tugas mengikut prosedur keselamatan tanpa melibatkan kemalangan di kawasan kerja mereka mengikut tempoh tertentu

Tiada ulasan: