KUALA LUMPUR – Di sebalik desas-desus pilihan raya umum ke-13 semakin dekat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus mencatatkan peningkatan jumlah mereka mendaftar sebagai pemilih baru – lebih 300,000 orang mengemukakan permohonan pada suku pertama tahun ini.
Angka itu mengatasi lima suku terakhir sebelum ini dan mengalami peningkatan peningkatan ketara.
Ia juga dua kali ganda lebih tinggi berbanding suku pertama tahun lalu.
Dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih suku pertama tahun 2011 iaitu dari Januari hingga Mac, SPR menerima 301,171 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dan 59,075 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi.
Nama-nama baru itu akan dipamer di bawah Rang Daftar Pemilih tambahan bagi suku pertama tahun 2011 untuk semakan orang ramai mulai esok hingga 4 Mei, kata Pegawai Perhubungan Awam SPR Sabri Said.
Ia akan dipamerkan di 1,005 tempat di seluruh negara iaitu 15 Pejabat Pilihan Raya Negeri; 475 Pejabat Pos Berkomputer; 105 kompleks/pejabat kerajaan; 156 Pejabat Daerah/Pejabat Tanah; 51 majlis daerah/perbandaran; 173 dewan serbaguna/rukun tertangga/balai raya/ penghulu atau dewan; dan 30 di tempat-tempat lain.
“Orang ramai yang baru memohon menjadi pemilih atau pemilih berdaftar yang memohon pertukaran alamat pusat mengundi, dinasihat membuat semakan,” katanya.
Perangkaan dikeluarkan SPR sebelum ini menunjukkan seramai 292,444 orang memohon mendaftar sebagai pengundi baru antara Oktober dan Disember lalu berbanding 246,962 orang antara Julai dan September lalu.
Pada suku pertama Januari hingga Mac 2010, SPR menerima 134,298 permohonan baru dan ia meningkat kepada 191,970 sepanjang April dan Jun.
Arah aliran peningkatan jumlah permohonan baru itu sama dengan situasi pada 2007 di mana ia mengalami peningkatan ketara menjelang pilihan raya umum ke-12, yang berlangsung pada suku pertama tahun 2008.
Berdasarkan daftar yang disahkan setakat 31 Disember lalu, SPR mempunyai 11,817,936 orang pemilih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan