Shazryl tiba di masjid itu diiringi bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Perkasa, Datuk Shuaib Lazim yang bersamanya dalam kumpu-lan trio Datuk T, kira-kira jam 4 petang dan melafazkan sumpah laknat di dalam masjid 15 minit kemudian.
Sebaik tiba di masjid, ketiga-tiga mereka melakukan solat sunat.
Dua jam sebelum itu, Pengerusi Masjid Amru Al-As, Abdul Razak Hussin mengumumkan kepada jemaah solat Jumaat sumpah laknat dikatakan akan berlangsung di situ dibatalkan.
Ini berikutan suasana kecoh berlaku apabila kira-kira 50 ahli dan penyokong PKR diketuai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin melaungkan takbir dan “kami mahu qazaf” di ruang solat sebaik selesai solat Jumaat.
Bukan itu sahaja, mereka juga bertolak-tolakan, dan bertikam lidah dengan sekumpulan individu yang menghalang mereka daripada berhimpun di dalam masjid.
Tindakan itu mungkin langkah terakhir usaha mereka untuk menghalang Shazryl dan rakan-rakannya daripada bersumpah laknat, sebagaimana caba-rannya kepada Anwar kelmarin.
Selepas pengumuman Abdul Razak, suasana agak reda namun Masjid Amru Al-As kembali diserbu penyokong PKR kira-kira jam 4 petang apabila mereka menyedari kehadiran trio Datuk T yang masing-masing dipercayai mengenakan baju kalis peluru, selain diiringi pengawal peribadi.
Seorang imam kemudian mengingatkan Shazryl akan risiko sumpah laknat, malah menasihat supaya beliau membatalkan niatnya itu. Shazryl juga diserahkan senaskhah buku bertajuk ‘Qazaf’.
Namun, semua itu tidak memberi kesan kepadanya yang tetap mahu bersumpah laknat.
Beliau kemudian mengambil senaskhah kitab suci al-Quran, membaca taawuz, basmallah, tiga kali mengucap dua kalimah syahadah dan melafaz wallahi, wabillahi, watallahi. Selepas itu, Shazryl berkata:
“Aku bersumpah bahawa aku dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam paparan video yang dirakamkan pada 21 Februari 2011 dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video terbabit.
“Sekiranya aku melakukan fitnah dalam kenyataan bersumpah ini, maka Allah akan melaknat akan diriku.”
Sebaik selesai, beliau bersama dua rakannya, Abdul Rahim dan Shuaib terus bergegas meninggalkan masjid.
Pada satu sidang media kelmarin, Shazryl mencabar Anwar bersumpah laknat supaya kedua-dua pihak dapat membuktikan siapa benar, siapa salah berkaitan isu video seks.
Anwar sebaliknya menolak cabaran itu dengan alasan, seorang individu yang hidupnya bergelumang maksiat, zina dan minum arak tidak layak bersumpah laknat untuk membuktikan kebenaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan