Bercakap kepada The Malaysian Insider, ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohamad mengakui dia masih lagi teringat dan terbayang sikap manja anak bongsunya itu.
“Rutin harian saya sama seperti dulu tapi arwah (Aminulrasyid) tetap masih dalam ingatan saya... nak pejamkan mata saya teringatkan dia, nak buat kerja pun saya teringatkan dia, walau sesaat pun saya sentiasa teringat akan dia... apa yang dia buat saya masih lagi terbayang, saya tidak boleh lupa langsung.
“Arwah tidak sakit tapi tiba-tiba sahaja dia tiada, kalau saya keluar rumah dan terpandang tempat kejadian, hanya Allah sahaja tahu macam mana perasaan saya, saya tidak tahu macam mana nak gambarkan kesedihan yang saya alami ini... kesedihan yang saya dan keluarga tanggung selama setahun ini,” katanya.
Aminulrasyid, mati terkena tembakan polis di Seksyen 11, Shah Alam ketika cuba melarikan diri selepas terserempak dengan kereta peronda.
“Saya boleh rasa bagaimana takutnya dia untuk sampai ke rumah, sampai hari ini kawannya yang turut berada dalam kereta itu masih lagi trauma.
“Anak saya bukan budak jahat, dia hanya pergi menonton siaran langsung bola sepak sahaja, jangan nak kata anak saya penjenayah... saya kenal siapa anak saya dan saya tak boleh terima bila ada orang kata anak saya penjenayah, mereka yang cakap macam itu memang buta hati dan tiada perasaan langsung.
“Kalau ikutkan hati saya memang tidak boleh terima kematian dia yang terlalu cepat tapi benda dah berlaku saya kena terima ketentuan Allah tapi sampai sekarang saya tetap tidak boleh terima orang kata anak saya penjenayah,” kata Norsiah, 61.
Kata Norsiah, sehingga hari ini dia masih terasa Aminulrasyid berada di sampingnya.
“Saya masih lagi terbayang-bayang kelakuan, gelagat dam semua perangai dia... kalau saya lihat budak sekolah lalu depan rumah saya dah rasa semacam, saya seolah-olah nampak anak saya.
“Kalau saya lalu tepi padang saya nampak Aminulrasyid ada bersama kawan-kawan dia bermain bola sepak, kalau saya rindukan dia saya akan ke padang untuk lihat kawan-kawan dia,” katanya.
Dalam perbualan ringkas itu, Norsiah masih menimbulkan beberapa kemusykilan berhubung kematian Aminulrasyid.
“Saya tak boleh terima orang kata anak saya penjenayah, itu zalim namanya... janganlah tembak orang sesuka hati, adakah itu hukuman yang anak saya patut terima? Kalau anak sendiri yang kena macam mana? Apa yang akan dia rasa?” katanya.
Tegas Norsiah, walaupun keluarganya dituduh “keluarga penjenayah” namun dia akan tetap memastikan kematian anaknya itu terbela.
“Orang ingat saya boleh dengar sahaja apa yang mereka cakap pasal keluarga saya... pasal anak saya, saya nak tegaskan kami bukan dari keluarga penjenayah dan anak saya bukan penjenayah seperti mana yang polis kata tahun lalu.
“Mentang-mentang anak saya sudah tiada, macam-macam mereka kata pasal dia... sedap mulut cakap anak saya penjenayah, anak saya berumur 14 tahun (ketika kejadian), apa jenayah yang dia boleh buat? Saya tak hairan apa orang nak kata tapi saya akan pastikan kematian anak saya terbela, siapa yang bersalah akan bertanggungjawab... kalau tidak di dunia Allah akan balas di akhirat nanti,” katanya.
Ekoran daripada kejadian itu, seorang pegawai polis telah didakwa di mahkamah kerana menembak mati Aminulrasyid.
Koperal Jenain Subi, menghadapi tuduhan menyebabkan kematian terhadap Aminulrasyid, di antara 1.10 pagi hingga 2 pagi di Jalan tarian 11/2, pada 26 April, 2010 mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalah boleh dipenjara sehingga 30 tahun.
Perbicaraan kes itu masih berjalan.
Menceritakan kenangan bersama Aminulrasyid, Norsiah berkata anaknya itu akan sentiasa menemaninya di rumah.
“Dulu kalau dia anak rumah ini meriah, dia akan ketawa, gembirakan saya tapi sekarang tiada lagi gelak tawa dia... sekarang di rumah saya ditemani anak dan cucu.
“Biasa dulu pergi ke mana-mana mesti dengan Aminulrasyid, pergi pasar malam dengan dia, kalau bulan Ramadan kami akan solat terawih bersama di surau yang berdekatan tapi semua itu hanya tinggal kenangan bagi kami sekeluarga,” katanya.
“Malah saya masih menyimpan pakaian Aminulrasyid sebagai kenangan...mudaha-mudahan dia di tempatkan syurga,” tambah Norsiah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan