HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 April 2011

Lawatan Imam Besar Masjidil Haram tiada kaitan isu Wahabi, kata menteri



Jamil Khir: Kita hormati pandangan Imam Besar Sheikh Abdul Rahman tentang Islam.

KUALA LUMPUR— Kunjungan Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais ke Malaysia minggu lalu tidak membabitkan motif mahu mengembangkan fahaman Wahabi di negara ini, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Bercakap kepada The Malaysian Insider, beliau berkata kedatangan Sheikh Abdul Rahman sempena lawatan kerja lima hari adalah untuk mengeratkan hubungan antara dua Negara — Malaysia dan Arab Saudi.

Malah kata beliau, Sheikh Abdul Rahman datang ke Malaysia atas jemputan negara ini dalam usaha untuk memupuk kerjasama yang lebih erat.

“Kehadiran Imam Besar Masjidil Haram ini atas jemputan negara dalam usaha mengeratkan lagi hubungan antara dua negara... jadi tidak timbul soal nak wujudkan atau bawa fahaman Wahabi. Sebagai sebuah negara Islam kita terima pemimpin agama termasuk Imam Besar Masjidil Haram ini.

“Kita hormati kehadiran dan pandangan beliau (Sheikh Abdul Rahman) tentang Islam, malah saya tidak nampak kehadiran beliau melalui program-program yang kita anjurkan ada usaha-usaha untuk menyuntik fahaman Wahabi,” katanya.

Dalam komen kepada The Malaysian Insider susulan tulisan dalam facebooknya, Zamihan Mat Zin, seorang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia berkata, beliau mengesyaki Sheikh Abdul Rahman cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform “kerajaan dengan kerajaan”.

Zamihan yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu, Teras Institut Latihan Islam Malaysia berkata, lawatan kerja lima hari Sheikh Abdul Rahman yang berakhir Ahad lalu kemungkinan membawa metodologi yang bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia.

Kata beliau, Sheikh Abdul Rahman berpegang kepada fahaman Wahabi dan cuba menyuntik amalan itu di kalangan umat Islam melalui seminar “Berpegang kepada al-Quran dan As-Sunah” bertemakan “Dan Berpegang Kamu Semuanya Kepada Tali (Agama) Allah dan Janganlah Kamu Bercerai-berai.”

Seminar dua hari berakhir Ahad lalu diadakan di Hotel Royale Chulan di sini dan dihadiri tokoh agama dari dalam dan luar negara.

“Imam ini (Sheikh Abdul Rahman) bawa amalan Wahabi dan menggunakan platform kerajaan dengan kerajaan untuk menyuntik fahaman Wahabi kepada umat Islam di Malaysia dan negara-negara Islam yang lain.

“Kalau beliau datang bercakap untuk soal umum tentang Islam, kepentingan Islam kita boleh terima, tapi ia jadi masalah kalah bercakap tentang Allah ada mata... ada tangan... ada kaki... itu semua kita tidak boleh terima,” kata Zamihan yang pernah menjadi fokus berhubung isu Wahabi tahun lalu.

Jelas Jamil Khir, dakwaan yang dikeluarkan itu tidak berasas malah akan memberikan persepsi yang buruk kepada negara.

“Kalau kita teliti semula, kehadiran beliau (Sheikh Abdul Rahman) hanya untuk merapatkan hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi... kita nak eratkan hubungan antara dua negara ini, malah Imam Besar Masjidil Haram ini juga memuji cara kita menguruskan jemaah haji di Malaysia.

“Sebab itu saya kata kehadiran beliau hanya untuk mengeratkan hubungan dua negara dan bukan untuk tujuan lain termasuk seperti yang didakwa,” katanya.

Justeru beliau sekali lagi menegaskan kedatangan Sheikh Abdul Rahman adalah untuk mewujudkan kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan Arab Saudi.

“Melihat kepada cara beliau bercakap, menghormati orang lain, malah turut memberi pandangan agar umat Islam bersatu dalam menghadapi pelbagai cabaran... kita menerima pandangan yang dikemukakan itu.

“Jadi pada saya tidak wujud usaha-usaha untuk menyuntik fahaman Wahabi seperti mana yang dikatakan. Saya bercakap atas dasar fakta bukan andaian. Kehadiran Imam Besar Masjidil Haram ini adalah untuk eratkan hubungan, itu sahaja... tiada tujuan lain,” tegas Jamil Khir.

Pada Jumaat lalu, Sheikh Abdul Rahman menggesa umat Islam berpegang teguh kepada al-Quran dan As-Sunah demi memastikan mereka kekal bersatu padu.

Beliau berkata, perpecahan di kalangan umat Islam akan berlaku sekiranya mereka tidak menjadikan kedua-dua perkara itu sebagai sebahagian amalan kehidupan seharian.

“Anda semua harus berpegang pada hadis Rasulullah mengenai pentingnya berpegang teguh dengan al-Quran dan As-Sunah, jika tidak inilah (perpecahan) jadinya kepada umat kita (Islam),” katanya dalam khutbah Jumaat yang diikuti oleh lebih 3,000 jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan.

Khutbah beliau bertajuk “Perpaduan Islam dan Cabaran Semasa” diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh Yang Dipertua Persatuan Bahasa Arab Malaysia, Datuk Mahamud Abdul.

Malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut menerima kunjungan hormat Sheikh Abdul Rahman dalam rangka lawatan kerja itu.

Najib juga menyifatkan kunjungan Sheikh Abdul Rahman itu adalah satu pengiktirafan terhadap usaha kerajaan Malaysia bagi menegakkan Islam di negara ini.

Tiada ulasan: