SHAH ALAM— Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Selangor hari ini mendapati Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah (gambar) tidak bersalah atas dakwaan menghina Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun jawatankuasa itu mendapati peguam Badrul Hisham, Datuk Mohd Hafarizam Harun bersalah kerana gagal menghadiri pendengaran jawatankuasa hari ini meskipun diberikan notis sebelum ini dan memerintahkan beliau membayar denda RM20,000.
Pengerusi jawatankuasa tiga anggota yang dipengerusikan Adun Kota Alam Shah M.Manoharan memutuskan keputusan terhadap Hafarizam dipanjangkan kepada DUN Selangor untuk pertimbangan selanjutnya.
Dipetik laporan Bernama Online, Manoharan memberitahu, panel itu sebulat suara mendapati Badrul Hisham tidak bersalah setelah berpuas hati dengan penjelasan diberikan oleh wakil rakyat itu.
“Selepas mendengar penjelasan YB Badrul dan seorang saksi terlibat, maka jawatankuasa mendapati beliau tidak bersalah dan bersetuju melepas dan membebaskannya daripada saman yang diterimanya untuk menghadiri pendengaran jawatankuasa hari ini,” katanya kepada pemberita.
Dua anggota panel lain dalam Jawatankuasa Hak ialah Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan dan Adun Bangi Dr Shafie Abu Bakar.
Pada 1 April lalu, Badrul Hisham dan Hafarizam dirujuk ke Jawatankuasa Hak atas tuduhan, mereka secara berasingan atau bersama, melakukan kesalahan menghina Dewan dengan menghantar sepucuk surat bertarikh 29 Mac lepas kepada Speaker Dewan Datuk Teng Chang Khim yang didakwa mengandungi bahasa yang amat tidak ‘senonoh, biadap dan mengugut’.
Surat itu ada kaitan dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusof pada 18 Februari lepas yang memerintahkan Teng untuk menjelaskan kos sebanyak RM40,000 kerana tindakannya mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang yang disandang Badrul Hisham kosong.
Teng mengisytiharkan kerusi itu kosong pada 16 Januari lalu dengan alasan Badrul Hisham gagal menghadiri sidang DUN selama enam bulan tanpa alasan munasabah.
Hafarizam juga berkata pada 21 April lepas, firma guamannya telah menerima bayaran kos sebanyak RM40,000 seperti yang diperintahkan oleh mahkamah daripada Tetuan Tommy Thomas.
Laporan Bernama Online juga menyebutm ditanya sama ada pendengaran Jawatankuasa Hak pagi ini sah memandangkan Hafarizam telah mendapat injunksi dari Mahkamah Tinggi hari ini untuk menghalang pendengaran berkenaan diadakan, Manoharan berkata beliau hanya dimaklumkan mengenai perkara tersebut selepas selesai pendengaran.
Sementara itu, Teng yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah itu mendakwa Hafarizam tidak memberitahu pihaknya sebelum ini bahawa beliau akan memohon satu perintah injunksi bagi menghalang Selcat mengadakan pendengarannya.
Katanya, beliau akan berbincang bersama peguamnya sebelum mengambil tindakan selanjutnya mengenai perkara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan