HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 April 2011

Majlis Perundingan Media Negara Akan Ditubuhkan

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang menubuhkan Majlis Perundingan Media Negara bagi membolehkan semua perkara berkaitan dibincangkan secara harmoni antara kerajaan dengan media, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam mewujudkan majlis berkenaan, yang dijangka dibentang kepada kabinet tahun ini.

Ketika ini, kedua-dua pihak sedang dalam peringkat pertemuan serta perbincangan bagi merangka bentuk majlis berkenaan, sebelum satu rangka lengkap dapat disiapkan secepat mungkin.

"Kita akan membincangkan perkara berkaitan media, antaranya kebebasan media dan tanggungjawab wartawan untuk mematuhi undang-undang atau peraturan yang sudah sedia ada, supaya kebebasan media itu dapat diamalkan secara positif.

"Ia juga adalah hasil daripada hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang ingin melihat satu kerjasama yang lebih erat di antara media dan kerajaan, terutamanya dalam menghasilkan berita yang berkualiti, tepat dan kreatif," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan Hadiah Kewartawanan MPI-PETRONAS 2010 pada Malam Wartawan Malaysia 2011 di sini pada Jumaat, Rais berkata penubuhan majlis itu juga bertujuan mengukuhkan profesionalisme wartawan yang dianggap satu kerjaya suci dan jujur.

Beliau berkata, Majlis Perundingan Media Negara diwujudkan untuk kebaikan negara, terutama dalam proses melaporkan berita berkualiti serta mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Kita sudah mengadakan perjumpaan dengan Institut Akhbar Malaysia (MPI), pengamal media arus perdana dan media baru untuk berbincang sistem dan rangka majlis berkenaan supaya ia dapat menghimpunkan seramai mungkin pengamal media di dalam negara ini.

"Pengamal media di dalam majlis ini akan dapat berbincang dalam satu forum yang lebih luas dan ia akan bergandingan erat bersama kerajaan," katanya.

Rais menambah, penubuhan majlis itu diharap dapat mengukuhkan amalan etika kewartawanan yang tinggi, pemupukan tanggungawab sosial dan semangat nasional di kalangan pengamal media.

Terdahulu, Rais menyampaikan hadiah kepada 22 wartawan yang memenangi Hadiah Kewartawanan MPI-PETRONAS 2010 dalam 15 kategori bagi penerbitan berita sepanjang tahun lepas.

Sebanyak 512 artikel diterima bagi merebut anugerah kewartawanan paling berprestij negara yang menyediakan ganjaran wang tunai keseluruhan RM300,000.

Wartawan Berita Harian, Norfatimah Ahmad dan Nor Fazlina Abdul Rahim menggondol Hadiah Kewartawanan Kajai melalui laporan muka depan akhbar itu bertajuk "RM60,000 Habuan Sebulan" yang mendedahkan kegiatan penguatkuasa imigresen di Jeti Pulau Ketam, Klang, Selangor yang disogok bagi membantu pendatang tanpa izin Indonesia memasuki negara ini.

Mereka membawa pulang wang tunai RM30,000 serta pingat emas seberat 100 gram.

Tiada ulasan: