HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 April 2011

Rodziah : Kerajaan Negeri Komited Utamakan Kebajikan Rakyat

Ditulis oleh Ayie


PETALING JAYA : Kerajaan Negeri Selangor melalui agenda kebajikannya komited memberikan keutamaan perkhidmatan kebajikan kepada rakyat dengan sebaik mungkin, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi & Inovasi dan Kebudayaan Negeri Rodziah Ismail.

Selain itu menurut beliau, Kerajaan Negeri juga menjalankan projek SKIM SEL dan Mikrokredit MiMBAR dengan peruntukan RM70 juta setahun bagi memastikan masyarakat mendapat pendapatan sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan terus mendapat pembelaan.

Antara lain, golongan yang dibantu ialah golongan yang kurang berkemampuan dalam mendapatkan rawatan tertentu, hilang upaya mencari nafkah dan anak-anak yang kehilangan ibu bapa melalui pelbagai program yang disediakan oleh kerajaan Selangor.

Rodziah berkata demikian dalam ucapannya pada majlis penyampaian cek Lokomat kepada Yayasan SSL Strok dan Pembangunan Masyaakat di sini hari ini.

“Kerajaan Negeri Selangor telah meletakkan satu polisi kebajikan iaitu kalau kita tengok seseorang itu memang perlu dibantu dalam konteks kebajikan kita tidak perlu tanya banyak, kita terus berikan.

"Ada tiga kategori manusia atau masyarakat yang perlu kita bantu terus. Satu mereka yang tidak mampu , tidak ada kekuatan kewangan untuk pastikan mereka dapat perkhidmatan tersebut. Contoh jika di sini setiap rawatan RM150 kalau seminggu ada dua kali maknanya RM300 kita akan cari jalan bagaimana boleh bantu rawatan ini dengan beri terus dana itu pada beliau terima rawatan,” ujar Rodziah.

Menurutnya, sepanjang tiga tahun Pakatan Rakyat menerajui Negeri Selangor, sebanyak 80 peratus perancangan program Kerajaan Negeri telah dilaksana.

Tambahnya, Kerajaan Negeri berhasrat mewujudkan sekurang-kurangnya satu Pusat Dialisis Rakyat di setiap 56 DUN.

Pada masa ini beberapa Pusat Dialisis Rakyat telah diwujudkan di Sementa, Taman Medan, Hulu Klang dan Jalan Kebun, Klang.

“Saya sebenarnya sedang merangka satu program untuk membantu wanita dalam konteks bagaimana nak pastikan wanita dapat pembelaan dan pemeriksaan percuma mamogram,” katanya.

Melalui Skim Kesihatan Wanita Mammogram Selangor, kaum wanita boleh menjalani pemeriksaan mammogram secara percuma. Kos pemeriksaan mammogram sebenarnya sebanyak RM90 seorang.

Menurutnya sehingga Januari lalu, seramai 6,612 wanita telah menjalani pemeriksaan mammogram.

“Kita cari cara bagaimana kita boleh bantu wanita di Selangor untuk pastikan mereka ini bebas daripada kanser. Jadi apa yang kita buat kita berbincang dan kita pastikan bagaimana bantuan daripada kerajaan setiap minggu kita peruntukkan satu bas percuma.

Kita berbincang dengan pihak swasta, hospital swasta yang ada mesin mammogram ini. Sekarang kita telah hantar hampir 5,000 wanita setiap hari dan setiap minggu untuk pastikan mereka bebas daripada kanser payudara,” katanya.

Tiada ulasan: