HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 April 2011

Firma Hong Kong rancang lombong nadir bumi di Perak

TERKINI

KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat Hong Kong dan kerajaan Perak telah bersetuju untuk menerokai dan melombong nadir bumi di negeri itu – perkembangan terbaru di sebalik kontroversi loji pemprosesan Lynas Corporation di Gebeng dekat Kuantan.

Pemakluman bertarikh 18 April kepada Bursa Saham Hong Kong menunjukkan CVM Minerals Limited telah mengumumkan yang ia telah menyertai memorandum persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Pembangunan Negeri Perak untuk menjalankan projek itu di Bukit Merah, Ipoh.

Syarikat Hong Kong itu, menerusi subsidiari CVM Metal Recycle Sdn Bhd telah memohon kepada pejabat tanah dan galian negeri satu lesen untuk menerokai kawasan seluas 250 hektar bagi melombong nadir bumi.

Bukit Merah merupakan kawasan bagi loji nadir bumi di Malaysia 20 tahun lalu, yang masih berhadapan dengan kerja-kerja pembersihan RM300 juta.

Aktivis alam sekitar menimbulkan kebimbangan akan sisa radioaktif yang bakal dikeluarkan dan disimpan di kompleks loji pemprosesan Lynas di Gebeng, dengan merujuk kepada nasib yang menimpa Asian Rare Earth milik, yang dikaitkan lapan kes leukemia termasuk tujuh kematian.

Ibu pejabat CVMSB ditubuhkan di sini pada 2007 untuk melombong dolomit dan mengeluarkan ketulan magnesium di Malaysia.

Ia beroperasi di Perak sejak Jun 2009 dan juga menerokai perlombongan bijih besi, arang batu dan mangan.

Pengerusi CVM, Goh Sin Huat merupakan bekas ketua pegawai eksekutif Ho Wah Genting Berhad.

Ho Wah Genting, yang turut mempunyai pegangan dalam CVM juga dilaporkan mahu menyertai perlombongan timah untuk memperluaskan asas perolehan.

Syarikat itu juga berkata pemeteraian dengan sayap pelaburan Perak belum selesai lagi.

“Sehingga tarikh pengumuman, tiada perjanjian sahih diputuskan antara syarikat dan PSDC dalam mewujudkan perkongsian,” kata CVM dalam maklumannya.

PSDC mengumumkan ia juga berminat untuk membeli 135.3 juta saham CVM iaitu kira-kira 4.73 peratus daripada keseluruhan saham syarikat itu.

Tiada ulasan: