Aziz Muda |
KUALA LUMPUR: Keputusan Kerajaan BN untuk menyekat penjualan nasi lemak di kantin-kantin sekolah bukanlah satu langkah yang bijak dan tepat untuk mendidik para pelajar dan anggota masyarakat mengamalkan pemakanan sihat setiap hari. Sebaliknya, langkah tersebut dilihat akan mendatangkan pelbagai masalah lain kepada pelbagai pihak termasuk para pengusaha kantin, pengusaha makanan, pihak sekolah, para pelajar dan ibu bapa. Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud (gambar) menegaskan, pemakanan nasi lemak bergantung kepada kemahuan seseorang dan ia tidak boleh dipaksa untuk tidak dimakan oleh seseorang, apatah lagi jika sudah ternyata menjadi makanan kebiasaan sejak dulu lagi dalam masyarakat kita. Menurut beliau, dari sudut kesihatan pun, khususnya bagi mengelak para pelajar mengalami obesiti, langkah tersebut bukanlah sesuatu yang bijak kerana ia turut berkait dengan beberapa perkara lain. Katanya, nasi lemak sememangnya mempunyai kalori yang tinggi, mengandungi santan dan lemak yang sememangnya akan mempertingkatkan tahap kolestrol dalam badan orang yang memakannya, tetapi ia bergantung kepada individu itu sendiri. "Sesiapapun, jika sekali-sekala makan tak kisah, tak jadi masalah. Bagi orang yang bekerja di pejabat yang tak banyak mengeluarkan tenaga dan peluh, memang tak sesuai selalu makan nasi lemak kerana ia akan menyebabkan lemak dalam badan seseorang itu bertambah dan akan menjadi gemuk. "Tetapi bagi orang yang banyak menggunakan pergerakan fizikal, banyak menggunakan tenaga dan mengeluarkan peluh seperti buruh kasar, tidak menjadi masalah kepada mereka jika selalu makan nasi lemak. Malah mereka perlu memakannya kerana mereka sendiri memerlukan banyak tenaga dan makanan yang mempunyai karbohidrat yang tinggi," katanya ketika dihubungi, hari ini. Begitu juga, menurut beliau, dengan para pelajar yang aktif yang banyak melakukan pergerakan fizikal, bersenam, banyak mengeluarkan tenaga dan peluh yang juga tidak akan menjadi gemuk walaupun mereka selalu makan nasi lemak, berbanding para pelajar yang tidak aktif dan banyak menghabiskan masa di hadapan tv. "Dengan itu, keputusan yang diambil itu sememangnya tidak tepat. Apatah lagi jika nasi lemak yang dimakan itu hanyalah nasi lemak yang biasa yang tidak banyak santan, lagilah tidak mendatangkan masalah, berbanding nasi lemak yang banyak santan dan mempunyai lauk pauk yang banyak," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dari sudut kesihatan keputusan Kerajaan BN yang menghalang penjualan nasi lemak di kantin-kantin sekolah bagi mengelak obesiti di kalangan para pelajar, sehingga ia menimbulkan pelbagai kerumitan kepada pelbagai pihak terutama ibu bapa, para pengusaha kantin, para pengusaha makanan dan para pelajar sendiri. Langkah tidak praktikal itu diambil oleh pihak Kerajaan BN secara tiba-tiba sehingga kelihatan seperti mempunyai muslihat tertentu di sebaliknya oleh pelbagai pihak. Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Mariah turut mempersoalkan tindakan itu dengan penjualan mee, bihun dan beberapa makanan lain di kantin-kantin yang juga mempunyai tahap karbohidrat dan kandungan minyak yang tinggi, tetapi tidak dihalang. Langkah bijak yang disarankan oleh beliau kepada pihak kerajaan berhubung perkara itu, bukanlah dengan menghalang para pelajar memakan nasi lemak dan menghadkan atau menghalang penjualan nasi lemak di kantin, tetapi mendidik semua pihak terbabit dengan menyediakan senarai pemakanan sihat di sekolah-sekolah untuk dijadikan pilihan para pelajar. "Tanpa menyediakan senarai menu makanan sihat untuk dijadikan pilihan, tetapi tiba-tiba menghalang penjualan nasi lemak di kantin sekolah, mana boleh macam itu? Mana boleh paksa orang tak jual nasi lemak dan tak makan nasi lemak? Ini dah menyekat ruang peniaga-peniaga kita, menyusahkan pengusaha kantin, pengusaha makanan, para pelajar dan ibu bapa. "Bila dihalang penjualan nasi lemak di kantin sekolah, nanti akan muncul pula penjualan nasi lemak secara haram. Bila diadakan pula peraturan itu, ia pasti akan menyusahkan pihak pengusaha kantin dan pihak sekolah. Sedangkan untuk mengawal penjualannya di kantin-kantin dan pengambilannya di kalangan para pelajar bukanlah mudah. "Semua itu memerlukan pemantauan rapi dan ia tentunya tidak dapat dilaksanakan oleh pihak sekolah. Tidakkah ini melakukan kerja yang sia-sia namanya kerana membuat peraturan yang kita sendiri tak mampu memantaunya," tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja. Beliau menasihatkan pihak Kerajaan BN mengkaji semula keputusan tersebut dan menggantikannya dengan usaha mengadakan kursus khas kepada para pengusaha kantin dan pengusaha makanan, bagi membolehkan mereka menyediakan menu makanan sihat untuk dijadikan pilihan para pelajar di sekolah. Menerusi kursus tersebut, beliau mengesyorkan agar para pengusaha kantin dan pengusaha makanan lebih menitikberatkan penyediaan sayur-sayuran di dalam makanan mereka untuk dimakan oleh para pelajar kerana kedua-dua bahan tersebut amat penting dalam pemakanan sihat, bukannya dengan menyekat penjualan nasi lemak di kantin-kantin sekolah. Harakahdaily hari ini atas tajuk "Isu Nasi Lemak Untuk Lindungi Wabak Negara" melaporkan, PAS sangat prihatin terhadap isu yang berlaku menyentuh aspek pendidikan dan pembangunan sumber manusia di negara ini, termasuklah aspek pemakanan di sekolah. Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik berkata, PAS tidak mahu isu pemakanan menenggelamkan isu besar seperti isu akhlak di kalangan pelajar dan belia, isu PPSMI, isu diskriminasi politik termasuk ke atas guru, rasuah, jenayah, kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barang, penyalahgunaan kuasa dan lain-lain yang belum diselesaikan. “Apakah isu pemakanan ini serius atau hanya untuk menabiri dan melindungi isu-isu besar yang sedang mewabak dalam negara?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Beliau antara lain berkata, isu pemakanan untuk pelajar-pelajar bukanlah isu yang sangat besar berbanding dengan isu akhlak dan gejala sosial yang menjadi wabak di kalangan pelajar dan belia dalam negara hari ini. Sesuatu isu, katanya, sepatutnya diselesaikan secara berstrategik dalam erti kata ia hendaklah mengambil kira kemampuan anggota masyarakat untuk mengikuti aturan dan peraturan yang hendak dikenakan. Diandaikan isu pemakanan merupakan isu besar, tegas beliau, ia mestilah dikaji secara teliti dengan mengambil kira spek-aspek kebudayaan dan cara hidup, khususnya yang membabitkan aspek pemakanan dalam masyarakat. Langkah seperti itu amat perlu dilakukan kerana budaya pemakanan tidak boleh ditukar secara drastik dengan suatu penguatkuasaan undang-undang kerana aspek perundangan tidak boleh mengatasi aspek kemanusiaan. Beliau berkata, menukar menu makanan di sekolah secara drastik membabitkan makanan tradisi seperti nasi lemak walaupun nampaknya mudah tetapi akan menekan kehidupan dan kebiasaan pelbagai pihak, sedangkan ia yang belum tentu mendatangkan mudarat. Sebaliknya, memaksa mereka meninggalkannya lebih menyusahkan dan membebankan banyak pihak kerana makanan itu adalah mengenyangkan dan mudah serta menjadi adat dan kebiasaan yang sudah bersebati dalam kehidupan masyarakat. |
HALAMAN SANTAI
Sabtu, 30 April 2011
Sekat jual nasi lemak bukan langkah bijak
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan