HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 April 2011

RM5.2 juta cat semula pangsapuri PKNS

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM5.2 juta bagi mengecat semula pangsapuri-pangsapuri kos rendah yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sepanjang tahun ini.

Kerja-kerja tersebut mula dilaksanakan April ini dengan membabitkan seluruh pangsapuri kos rendah PKNS berumur lebih 15 tahun di seluruh Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad menjelaskan, perlaksanaan program tersebut adalah selari dengan program Kerajaan Pakatan Negeri Selangor untuk membantu penduduk membaikpulih pangsapuri-pangsapuri kos rendah di negeri itu.

Menurut beliau, matlamat dan objektif program itu antara lain adalah untuk memberikan nilai tambah kepada skim pemajuan-pemajuan PKNS.

"Di samping itu, ia juga bertujuan untuk mewujudkan persekitaran dan pangsapuri yang lebih ceria, indah dan harmoni," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Program tersebut, menurut beliau, membabitkan 131 blok pangsapuri, manakala unit-unit rumah terbabit berjumlah 8,180 unit kesemuanya.

Daripada jumlah tersebut, 6 blok atau 560 unit terletak di Ampang khususnya di sekitar kawasan Ulu Kelang, 19 blok atau 864 unit terletak di kawasan Petaling Jaya.

Manakala 35 blok atau 2,442 unit terletak di kawasan Shah Alam, 47 blok atau 1,942 unit terletak di kawasan Bangi dan 24 blok atau 2,300 unit terletak di kawasan Kota Damansara.

Beliau yang juga Adun Chempaka menjelaskan, program tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan akan dilaksanakan sepenuhnya dalam masa satu tahun.

"Sebagai permulaan, program mengecat akan dimulakan di pangsapuri kos rendah Seksyen 20 dan Seksyen 24, Shah Alam," jelasnya.

Tiada ulasan: