Justeru beliau mencabar Anwar supaya sama-sama bersumpah laknat bagi membuktikan kebenaran berhubung rakaman video seks yang dikaitkan dengan Ketua Umum PKR itu.
Shazryl berkata beliau akan membuat sumpah laknat itu selepas solat Jumaat di Masjid Amru al-As, Bandar Baru Sentul di sini dan mencabar Anwar untuk turut serta.
Menurut Shazryl, hanya beliau sahaja yang akan melakukan sumpah laknat, namun dua lagi rakannya iaitu bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim akan hadir dan solat Jumaat bersama-sama sebelum melakukan sumpah laknat.
“Mengenai identiti sebenar pelaku dalam video tersebut, saya berani bersumpah bahawa pelaku tersebut adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana saya sendiri berada di lokasi itu.
“Sekiranya Anwar masih menafikan bahawa beliau bukan orang dalam video itu, saya mengundang beliau agar sama-sama dapat melafazkan sumpah laknat selepas solat Jumaat esok di Masjid Amru al-As,” katanya pada sidang media di sini.
Turut hadir pada sidang media itu adalah Rahim dan Shuib yang merupakan “Datuk T” yang telah menggemparkan negara apabila bertindak mempertontokan rakaman video seks itu kepada wakil media terpilih di hotel Carcosa Seri Negara, 21 Mac lalu.
“Hanya saya sahaja yang akan membuat sumpah laknat, kalau diperlukan mereka (Rahim dan Shuib) akan buat juga.
“Saya juga ingin mempelawa semua pihak yang meragui kebenaran ini untuk turut hadir menyaksikan upacara tersebut.
“Sesungguhnya segala tindakan kami berasaskan kebenaran dan memenuhi kepentingan rakyat, akhir sekali dengan nama Allah, Rasulullah, rakyat dan anak-anak cucu kita, saya dan rakan-rakan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pendedahan tersebut,” kata Shazryl.
Ditanya kemungkinan Anwar tidak akan hadir untuk melakukan sumpah laknat esok, Shazryl bagaimanapun enggan mengulas sebaliknya berkata, “biar rakyat sahaja menilai.”
“Saya tidak mahu komen pasal itu, kita tunggu sahaja esok dan biar rakyat menilainya,” katanya.
Beliau juga enggan mengulas lanjut berhubung klip terbaru yang tersebar di Internet semalam.
“Saya tidak tahu, biar polis yang siasat... saya tidak mahu komen,” katanya.
Dalam sidang media itu, Shazryl berkata beliau amat mengenali peribadi Anwar dan kesal pemimpin kanan kanan Pakatan Rakyat tidak pernah menyesal dengan perbuatan yang tidak bermoral itu.
“Saya sangat mengenali Anwar secara peribadi, maka saya percaya beliau tidak akan berubah, malah tidak menyesal dan insaf terhadap perbuatan terkutuk yang beliau lakukan mengikut nafsu dan kerakusannya walaupun menghadapi pelbagai tuduan beliau tidak pernah bertaubat.
“Malah beliau tidak sedikit pun serik atau rasa bersalah untuk mengulangi perbuatan terkutuk yang bertentangan dengan syariat Islam,” katanya.
Semalam satu lagi rakaman klip video hitam putih aksi seks yang dikatakan membabitkan seorang pemimpin tertinggi pembangkang telah dimuat naik dalam laman Internet.
Sedutan klip video dengan durasi satu minit 47 saat itu menampilkan seorang lelaki dan wanita dalam keadaan bertuala dan kemudian berbogel sebelum lelaki itu memakai seluar.
Sebelum ini pada 4 April lalu, satu klip video berdurasi yang sama tersebar luas di Internet.
Semalam Shazryl telah memberi sampel DNA kepada polis bagi membantu siasatan berkaitan dengan video seks itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan